Penipuan digital makin menggila

Modus operandi itu menunjukkan penjenayah digital sentiasa selangkah ke hadapan, sementara ramai pengguna masih tidak benar-benar memahami bentuk ancaman yang berkembang. Foto hiasan
Modus operandi itu menunjukkan penjenayah digital sentiasa selangkah ke hadapan, sementara ramai pengguna masih tidak benar-benar memahami bentuk ancaman yang berkembang. Foto hiasan
A
A
A

DUNIA digital yang kita sangka memudahkan hidup kini semakin berubah menjadi medan yang penuh jerangkap halus.

Hampir setiap hari, ada sahaja panggilan senyap, mesej rawak atau notifikasi kononnya daripada bank yang muncul di skrin.

Kita mungkin yakin mampu membezakan yang benar dan tipu, namun data membuktikan sesiapa sahaja boleh terjerat tanpa mengira pendidikan atau usia.

Menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), sebanyak 47,854 kes penipuan dalam talian direkodkan setakat September 2025, dengan kerugian mencecah RM1.919 bilion.

Pendedahan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah di Dewan Rakyat, Oktober lalu hanya meliputi angka tiga suku tahun, tetapi sudah cukup menggambarkan dahsyatnya gelombang penipuan digital sedang melanda negara.

Dalam tempoh Januari hingga Jun sahaja, rakyat Malaysia kehilangan RM1.12 bilion akibat pelbagai taktik penipuan, berdasarkan laporan Kementerian Dalam Negeri.

Lebih membimbangkan apabila banyak mangsa sebenarnya melakukan pindahan wang secara sedar, bukan melalui paksaan tetapi kerana panik, keliru atau percaya mereka sedang membantu siasatan pihak berkuasa.

Manipulasi psikologi itulah yang menjadikan scam moden lebih berbahaya, bukan lagi sekadar khidmat pesanan ringkas (SMS) murahan, tetapi taktik terancang yang bermain dengan emosi.

Walaupun banyak laporan dibuat, pulangan wang mangsa sangat rendah. Statistik terkini menunjukkan daripada puluhan juta ringgit yang dibekukan, hanya RM1.99 juta berjaya dipulangkan kepada mangsa sehingga November 2025 melalui Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC).

Artikel Berkaitan:

Ini bermakna kebanyakan mangsa terpaksa menelan hakikat pahit, wang simpanan mereka tidak akan kembali.

Apa yang berlaku hari ini menunjukkan penipuan digital bukan lagi digerakkan secara kecil-kecilan, tetapi sudah berubah menjadi industri gelap.

Sindiket kini berhelah menggunakan teknologi canggih seperti suara klon berasaskan kecerdasan buatan (AI), penyamaran nombor telefon rasmi dan skrip komunikasi yang dilatih khusus untuk mengawal emosi serta keputusan mangsa.

CyberSecurity Malaysia (CSM) baru-baru ini mendedahkan taktik baharu dikenali sebagai ‘panggilan senyap’ iaitu panggilan yang apabila dijawab, tiada suara di hujung talian.

Tujuannya bukan untuk berbual, tetapi memastikan nombor aktif sebelum mangsa menerima panggilan penipuan sebenar.

Modus operandi itu menunjukkan penjenayah digital sentiasa selangkah ke hadapan, sementara ramai pengguna masih tidak benar-benar memahami bentuk ancaman yang berkembang.

Situasi itu begitu membimbangkan kerana ramai pengguna masih belum benar-benar memahami bentuk ancaman yang sedang berkembang.

Lebih merisaukan apabila sebahagian mangsa memilih berdiam diri kerana malu atau tidak percaya laporan akan membawa hasil. Dalam konteks ini, diam bukan pilihan, ia hanya menghalalkan sindiket terus bermaharajalela.

Sebagai masyarakat, kita perlu mula membentuk budaya berhenti sejenak sebelum percaya. Semak nombor, sahkan maklumat dan jangan sesekali bertindak terburu-buru hanya kerana suara di hujung talian kedengaran yakin.

Dalam dunia penuh helah ini, keberanian untuk bertanya mampu membezakan antara selamat dan hilang seluruh simpanan.

Selagi pengguna panik, sindiket akan terus ‘menggila’. Namun, jika kita bersama-sama membina kesedaran, menyokong mangsa untuk melapor dan berani mempersoalkan setiap perkara yang mencurigakan, barulah kita mampu memperlahankan arus penipuan digital yang semakin menjadi-jadi.

*Nurulfatiha Muah ialah pencipta kandungan Sinar Harian

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!