'Seri sudah memadai tapi menang lebih baik'

SKUAD Bawah 23 Tahun (B-23) negara tetap memilih pendekatan menyerang apabila menentang Vietnam dalam aksi penentuan Kumpulan B Sukan SEA di Stadium Rajamangala pada petang ini, walaupun hanya memerlukan keputusan seri untuk mara ke separuh akhir.
Malaysia kini berada di puncak kumpulan dengan tiga mata hasil kemenangan 4-1 ke atas Laos, manakala Vietnam turut mengumpul tiga mata selepas menewaskan Laos 2-1.
Jurulatih Nafuzi Zain menegaskan anak buahnya akan berusaha mengawal permainan dan tidak hanya bergantung kepada keputusan seri.
“Matlamat kami adalah untuk menang dan mendapatkan tiga mata. Sekurang-kurangnya, kami mesti elakkan kekalahan kerana itu sudah cukup untuk membawa kami ke separuh akhir.
“Persiapan berjalan dengan rapi,” katanya.
Menurut Nafuzi, selepas meneliti prestasi semasa Vietnam, termasuk aksi mantap mereka sejak Piala ASEAN, beliau menyedari perlawanan hari ini menuntut disiplin tinggi daripada anak buahnya.
“Vietnam sudah tunjuk kemampuan sejak Piala ASEAN hingga sekarang. Kami sedar kelebihan mereka, tetapi yang lebih penting ialah bagaimana kami melaksanakan perancangan sendiri,” katanya.
Malaysia dijangka membuat beberapa perubahan taktikal berbanding aksi pembukaan menentang Laos.
Intensiti yang dibawa Vietnam dijangka berbeza sepenuhnya, justeru beberapa pemain yang belum diturunkan mungkin diberi peluang.
Pemain sayap Haqimi Azim Rosli hampir pasti tidak sempat kembali selepas pulang ke Kuala Lumpur berikutan kematian bapanya.
Bagaimanapun, Harimau Muda menerima suntikan semangat apabila pemain tengah Aliff Izwan Yuslan kembali menyertai skuad B-23 selepas mendapat pelepasan daripada Selangor.
“Ada pemain yang masuk, ada yang tidak dapat bersama, jadi struktur pasukan tidak banyak berubah.
“Kami terima situasi ini dan fokus sepenuhnya kepada Vietnam,” kata Nafuzi.
Beliau turut menjelaskan bahawa penyerang Fergus Tierney tidak berada dalam perancangan untuk dipanggil pada saat akhir kerana Sabah tidak melepaskannya menjelang final Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), Ahad ini.
Ringkasan AI
- SKUAD Bawah 23 Tahun Malaysia memilih pendekatan menyerang untuk perlawanan menentang Vietnam
- Malaysia dan Vietnam sama-sama mengumpul tiga mata, menang satu perlawanan ke atas Laos
- Jurulatih Nafuzi Zain bertekad untuk memenangi perlawanan dan mengawal permainan, bukan hanya bergantung pada hasil seri
- Beberapa perubahan taktikal dijangkakan dengan kemungkinan pemain baru diturunkan untuk menyesuaikan dengan intensiti permainan Vietnam
- Pemain sayap Haqimi Azim Rosli tidak dapat bermain akibat kematian bapanya, tetapi Aliff Izwan Yuslan kembali menyertai skuad setelah mendapat pelepasan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

