Perkhidmatan bas pengantara lemah punca pengguna memandu ke stesen

SHAH ALAM – Kelemahan rangkaian bas pengantara yang tidak menyeluruh dikenal pasti menjadi punca ramai pengguna terpaksa memandu ke stesen sekali gus melemahkan usaha meningkatkan penggunaan pengangkutan awam.
Pengerusi Malaysia Land Public Transport Forum, Zac Cheong Sze Hoong berkata, perkhidmatan bas sedia ada masih belum berupaya menangani isu first and last mile yang menjadi keperluan utama pengguna.
“Bas pengantara kita masih belum cukup kuat untuk menyelesaikan isu first and last mile, sebab itu ramai memilih untuk memandu ke stesen,” katanya pada TikTok Live Sinar Harian pada Rabu.
Beliau berkata, jika kemudahan sambungan ke stesen tidak praktikal atau terlalu jauh, pengguna akan terus memilih kereta sebagai mod perjalanan utama.
Menurutnya, sistem rel pula memerlukan lebih banyak set tren serta peningkatan kekerapan bagi memastikan masa menunggu lebih singkat dan pengguna mendapat keselesaan optimum.
“Tanpa tren tambahan dan jadual lebih kerap, kita sukar mengurangkan kesesakan dalam koc pada waktu puncak,” jelasnya.
Zac turut mengakui kualiti perkhidmatan yang tidak konsisten, termasuk tren lama, bas usang dan isu penyelenggaraan berulang, masih menjadi aduan yang membantutkan keyakinan rakyat.
Katanya, kemudahan akses di beberapa stesen terutama bagi warga emas dan orang kurang upaya (OKU) juga perlu dipertingkatkan kerana laluan pejalan kaki dan kemudahan sokongan belum memadai.
“Akses ke stesen mesti mesra semua pengguna. Kalau warga emas pun sukar sampai ke platform, bagaimana mereka hendak menggunakan pengangkutan awam secara konsisten?” ujarnya.
Menurut Zac, persepsi terhadap keselamatan dan kebersihan di stesen turut memainkan peranan besar dalam mempengaruhi keputusan rakyat untuk terus memandu atau menukar kepada mod awam.
Beliau berkata, semua isu berkenaan memerlukan komitmen pelaburan lebih besar daripada kerajaan serta penyelarasan kukuh antara operator untuk memastikan sistem pengangkutan awam benar-benar berkesan.
“Kita perlukan komitmen serius kerajaan dan satu badan tunggal yang benar-benar berkuasa untuk menyelaras keseluruhan sistem pengangkutan awam negara,” tegasnya.
Ringkasan AI
- Kelemahan rangkaian bas pengantara sebagai punca utama rakyat memilih memandu ke stesen
- Perkhidmatan bas masih belum berupaya menangani isu first and last mile
- Kemudahan sambungan yang tidak praktikal atau jauh membuat kereta menjadi pilihan utama
- Kualiti perkhidmatan pengangkutan awam yang tidak konsisten menurunkan keyakinan rakyat
- Persepsi terhadap keselamatan dan kebersihan di stesen mempengaruhi pilihan penggunaan pengangkutan awam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

