Kerajaan optimis sasaran tertinggi pertumbuhan ekonomi 4.8 peratus dapat dicapai

Amir Hamzah bercakap pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen pada Rabu. Foto Bernama
Amir Hamzah bercakap pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan yakin pertumbuhan ekonomi negara mampu mencapai paras ambang tertinggi yang disasarkan iaitu 4.8 peratus pada 2025, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, keyakinan itu mencerminkan aktiviti ekonomi negara kekal berdaya tahan dan keyakinan pelabur terus meningkat terhadap potensi ekonomi Malaysia.

Jelas beliau, kedudukan ini turut disokong oleh peningkatan pelaburan yang diluluskan bagi tempoh 21 bulan terkini (Januari 2024 hingga September 2025) iaitu sebanyak RM663.7 bilion.

"Selain itu, kadar inflasi terus menyederhana kepada 1.3 peratus pada Oktober 2025," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 bagi Kementerian Ekonomi di Dewan Negara pada Rabu.

Amir Hamzah yang turut menjalankan fungsi dan tanggungjawab Menteri Ekonomi berkata, pertumbuhan ekonomi negara pada 2026 akan dipacu oleh jangkaan perbelanjaan domestik yang kukuh, disokong dengan kadar inflasi yang sederhana dan peningkatan pendapatan berikutan pasaran buruh yang stabil.

"Kerajaan akan memastikan setiap ringgit yang dibelanja memberi manfaat kepada rakyat. Kedudukan fiskal negara akan terus diperkukuh melalui penguatkuasaan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850).

"Kerajaan yakin unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 4.0 peratus hingga 4.5 peratus bagi tahun 2026 akan dapat dicapai," ujar beliau.

Sementara itu, mengulas berhubung Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan Belanjawan 2026, Amir Hamzah menegaskan penyediaan belanjawan tahunan telah diselaraskan sepenuhnya dengan kerangka RMK13 dan agenda pembangunan Ekonomi Madani.

"Pelaksanaan projek RMK13 dan belanjawan tahunan turut bergerak seiring bagi memastikan keberkesanan dasar, kecekapan perbelanjaan dan impak pembangunan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat," tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Amir Hamzah turut menekankan bahawa penglibatan syarikat tempatan akan diberi keutamaan dalam industri yang mempunyai pertumbuhan dan nilai yang tinggi serta sektor strategik berimpak tinggi.

"Pada tahun 2024 hingga September 2025, sebanyak RM5.54 bilion pelaburan strategik berkaitan semikonduktor telah diluluskan kepada lima syarikat antarabangsa dan tempatan.

"Pelaburan ini dijangka menyumbang kepada pertumbuhan industri semikonduktor dan memastikan lebih banyak penghasilan produk dan perkhidmatan ‘Made by Malaysia’ yang bernilai tinggi," tambahnya. - Bernama

Ringkasan AI

  • Kerajaan yakin ekonomi Malaysia akan tumbuh 4.8 peratus pada 2025
  • Keyakinan tersebut disokong oleh pelaburan RM663.7 bilion yang diluluskan
  • Kadar inflasi dijangka menyederhana kepada 1.3 peratus pada Oktober 2025
  • Pertumbuhan ekonomi negara pada 2026 akan dipacu oleh perbelanjaan domestik yang kukuh
  • Pelaburan RM5.54 bilion dalam industri semikonduktor dijangka menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!