Pejuang cadang penubuhan dana penyelenggaraan bantu miskin bandar Johor

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri disarankan untuk menubuhkan Dana Penyelenggaraan Berterusan dalam usaha membantu dan menjaga kebajikan golongan miskin bandar yang menghuni flat kos rendah di seluruh Johor.
Ahli Majlis Pimpinan Negeri Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Ahmade Mohd Din berkata, dana tersebut penting bagi memastikan kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan dapat dijalankan secara konsisten.
"Dana ini perlu disalurkan setiap tahun dengan pengawasan ketat agar ketirisan tidak berlaku.
"Selain itu, audit keselamatan dan infrastruktur juga perlu dijalankan secara berkala, terutamanya bagi flat yang berusia lebih 30 tahun dengan penglibatan jurutera bertauliah bagi menilai keadaan struktur bangunan, lif, sistem kumbahan dan infrastrukturnya," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, perkara tersebut boleh direalisasikan menerusi kerjasama erat antara kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan komuniti setempat.
Tambah Ahmad, sebuah jawatankuasa bersama juga wajar dibentuk bagi memastikan semua isu dapat ditangani secara sistematik termasuk melalui sistem aduan digital yang telus dan mudah diakses penduduk.
Selain itu katanya, program naik taraf secara berfasa juga perlu dilaksanakan mengikut keutamaan lokasi.
"Pendekatan projek perintis di beberapa flat terpilih boleh dijadikan model sebelum diperluaskan ke seluruh negeri.
"Kedai runcit dan kedai barangan asas harian perlu dipecepatkan untuk kemudahan rakyat," katanya.
Selain itu, Ahmade berkata, pendidikan dan kesedaran komuniti berkaitan kebersihan, penggunaan sistem kumbahan dan pengurusan sampah perlu diperkasa melalui program libat urus bersama sekolah, surau serta persatuan penduduk.
Katanya, insentif kepada komuniti yang berjaya mengekalkan kebersihan serta sokongan sosial seperti klinik bergerak dan pusat komuniti perlu disediakan bagi meringankan tekanan hidup golongan miskin bandar.
"Aspek ketelusan dan akauntabiliti mesti dipertingkatkan dengan memaparkan kesemua perbelanjaan penyelenggaraan secara terbuka di papan kenyataan flat serta di portal rasmi negeri," ujarnya.
Beliau berkata, tindakan menambah baik secara berterusan, menyeluruh dan telus perlu kerana golongan miskin bandar yang menghuni flat kos rendah di seluruh Johor semakin membesar dan terkesan dengan beban kos sara hidup serta keadaan persekitaran yang tidak terurus.
Menurutnya, Pejuang Johor menegaskan hak rakyat miskin bandar ini mesti diberikan perhatian setaraf dengan agenda pembangunan mega negeri.
"Bantuan kewangan sementara semata-mata tidak mencukupi dan penyelesaian jangka panjang dan pembaharuan yang sistemik diperlukan. Kesejahteraan rakyat marhaen merupakan asas kepada kemajuan Johor yang inklusif dan berdaya tahan.
"Johor tidak boleh membiarkan rakyatnya hidup dalam keadaan daif yang berpanjangan. Sudah tiba masanya kita bergerak daripada bantuan one-off kepada perubahan yang benar-benar membawa kesejahteraan kepada rakyat," katanya.
Ringkasan AI
- Kerajaan negeri Johor disarankan menubuhkan Dana Penyelenggaraan Berterusan untuk membantu golongan miskin bandar menghuni flat kos rendah
- Dana tersebut penting untuk memastikan kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan flat dijalankan secara konsisten
- Pengawasan ketat dan audit keselamatan serta infrastruktur perlu untuk mengelakkan ketirisan dan memastikan keadaan bangunan yang selamat
- Kerjasama antara kerajaan negeri, PBT dan komuniti setempat serta pembentukan jawatankuasa bersama dicadangkan untuk menangani isu secara sistematik
- Program naik taraf fasiliti, pendidikan dan kesedaran komuniti, serta penyediaan insentif untuk meningkatkan kebersihan dan kesejahteraan penduduk flat kos rendah ditekankan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
