CARSOME catat lebih AS$6.4 juta EBITDA pada suku ketiga 2025

Pertumbuhan CARSOME dipacu oleh ekonomi unit yang lebih kukuh dan prestasi stabil di pasaran utama. Gambar kecil: Eric.
Pertumbuhan CARSOME dipacu oleh ekonomi unit yang lebih kukuh dan prestasi stabil di pasaran utama. Gambar kecil: Eric.
A
A
A

CARSOME Group Inc (CARSOME) mencatat momentum kukuh setelah merekodkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) lebih AS$6.4 juta bagi suku ketiga 2025, bersamaan kira-kira RM26 juta.

Pengasas bersama yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Eric Cheng berkata, prestasi itu dipacu oleh ekonomi unit yang lebih kukuh serta momentum stabil di pasaran utama operasinya.

“Keuntungan kasar suku ketiga turut meningkat tujuh peratus tahun ke tahun, disokong oleh segmen runcit yang merekodkan pencapaian suku tahunan paling kuat setakat ini.

“Secara keseluruhan, EBITDA bagi sembilan bulan pertama 2025 melebihi AS$15 juta iaitu lebih tiga kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

CARSOME terus mencatat keuntungan kukuh dengan EBITDA melebihi RM26 juta bagi suku ketiga 2025.
CARSOME terus mencatat keuntungan kukuh dengan EBITDA melebihi RM26 juta bagi suku ketiga 2025.

Tambah beliau, CARSOME Capital turut mencatat peningkatan ketara apabila permohonan pembiayaan melonjak lebih dua kali ganda pada suku ketiga sekali gus mengukuhkan jumlah pembiayaan dikeluarkan termasuk pinjaman sewa beli dan pembiayaan peniaga.

“Unit tersebut turut mengumumkan kemudahan modal kerja baharu bernilai RM150 juta dengan Mitsubishi UFJ Financial Group (MUFG) bagi menyokong perkembangan berterusan penyelesaian pembiayaannya.

“Usaha membangunkan keupayaan bersepadu telah mengubah hala tuju operasi syarikat dan meletakkan CARSOME pada landasan kukuh untuk terus mencatat keuntungan secara berdisiplin serta mampan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, syarikat kini mempercepat pengukuhan kedudukan pasaran melalui penawaran disasarkan seperti CARSOME Value Plus yang membolehkan mereka mencapai segmen pelanggan lebih luas.

“Pada masa sama, kerjasama strategik dengan JACCS Co, Ltd. membolehkan kami merapatkan jurang pembiayaan kenderaan di samping memastikan lebih ramai pengguna mampu memiliki kenderaan berkualiti,” jelasnya.

Ringkasan AI

  • CARSOME mencatat pendapatan EBITDA lebih AS$6.4 juta bagi suku ketiga 2025
  • Prestasi dipacu oleh ekonomi unit yang lebih kukuh dan momentum stabil di pasaran utama
  • Keuntungan kasar meningkat tujuh peratus tahun ke tahun, disokong oleh segmen runcit
  • EBITDA untuk sembilan bulan pertama 2025 melebihi AS$15 juta, tiga kali ganda berbanding tahun lalu
  • CARSOME Capital mencatat peningkatan permohonan pembiayaan, melancarkan kemudahan modal kerja bernilai RM150 juta dengan MUFG

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!