GLC, badan berkanun Sabah wajib hantar laporan prestasi tiga bulan sekali kepada KM

KOTA KINABALU - Semua Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Pengurus Besar Kumpulan (GGM) dan Pengurus Besar (GM) bagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta badan berkanun di Sabah diarah untuk mengemukakan laporan prestasi bertulis setiap tiga bulan terus kepada Ketua Menteri bermula tahun depan.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, langkah itu bertujuan memastikan kerajaan negeri menerima maklumat tepat pada masanya mengenai kemajuan projek, kedudukan kewangan, keberkesanan perkhidmatan dan pencapaian keseluruhan setiap entiti.
"Langkah ini penting untuk memantau prestasi setiap entiti," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet Negeri di sini pada Rabu.
Hajiji turut menegaskan bahawa mana-mana CEO, GGM dan GM yang gagal mengemukakan laporan, tidak mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) atau tidak menunjukkan prestasi memuaskan akan disemak kedudukannya, termasuk ditukar atau ditamatkan perkhidmatan.
Beliau turut menggesa semua ketua entiti tersebut menetapkan KPI yang jelas dan terukur selaras dengan mandat organisasi masing-masing.
"Semua projek, inisiatif, program dan perbelanjaan mesti mematuhi piawaian tadbir urus profesional, termasuk integriti kewangan, ketelusan pelaksanaan dan akauntabiliti kepada rakyat," tegasnya.
Walaupun beliau mengakui GLC dan badan berkanun memiliki objektif berbeza, namun
Hajiji menegaskan bahawa semuanya tetap bertanggungjawab menampilkan komitmen, kecekapan dan integriti tertinggi.
"Setiap CEO, GGM dan GM yang dilantik mesti menyumbang secara bertanggungjawab, seperti yang diharapkan oleh rakyat dan kerajaan, bagi membantu memajukan Sabah.
"Dengan pemantauan yang lebih teratur dan pengurusan yang lebih bertanggungjawab, agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan serta memberi manfaat secara langsung kepada rakyat Sabah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
