Enam pegawai polis wanita pecah stereotaip, kumpulan pertama terima tauliah juruterbang helikopter

IPOH - "Ketika berada di dalam helikopter, kami bukan wanita atau lelaki, kami ialah juruterbang."
Demikian kata Nur Izzati Bohari, 31, seorang daripada enam wanita pertama yang berjaya ditauliahkan sebagai juruterbang helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pemakaian Sayap Juruterbang disempurnakan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail sempena Penutupan Rasmi Kursus Lesen Juruterbang Persendirian (PPL) siri 1/2023 Helikopter yang berlangsung di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) di sini pada Rabu.
Majlis bersejarah itu bukan sahaja menyaksikan peningkatan keanggotaan juruterbang wanita dalam Pasukan Gerakan Udara (PGU), malah menandakan kejayaan kumpulan perintis wanita pertama yang menembusi dunia penerbangan helikopter PDRM.
Nur Izzati yang dinobatkan sebagai Peserta Kursus Terbaik Akademik berkata, perjalanan itu bukan mudah apatah lagi beliau bermula tanpa pengetahuan asas penerbangan.
Bagaimanapun katanya, tekad dan minat sejak kecil menjadikan impiannya untuk menjadi juruterbang PGU PDRM satu kenyataan.
“Cabaran terbesar adalah mengubah cara berfikir daripada orang biasa kepada pemikiran seorang juruterbang.
"Ketika berada di kokpit, jantina kita tinggalkan yang penting adalah kemahiran dan pengetahuan," katanya ketika ditemui pemberita.

Nur Izzati yang bertugas di bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat, Kelantan berkata, sama seperti peserta kursus lain, disiplin dan semangat juang menjadi kunci kejayaan dirinya menamatkan latihan.
Ujarnya, selain melalui fasa akademik, peserta juga menempuh ujian ketahanan mental dan fizikal termasuk Under Water Escape Training, latihan penerbangan solo minimum 15 jam serta Kursus Jungle Survival.
"Penerbangan solo pertama saya adalah momen paling tidak boleh dilupakan. Masa itu saya sedar bahawa wanita juga mampu menggalas tugas penerbangan taktikal PDRM sama seperti juruterbang lelaki," katanya.
Turut menerima pentauliahan sama adalah Inspektor polis wanita Nur Nazarith Sofia Abdul Malik, 32; Norashikin Jamid, 29; Faten Nabela Rashdi, 32; Norfazilah Md Zaki, 30, dan Nursairah Farhana Mohd Noor, 30.
Majlis turut mengurniakan pentauliahan sama kepada tiga inspektor polis lelaki yang terdiri daripada Muhammad Syafiq Rosli, 32; Muhammad Muzzamer Mohd Rasid, 31, dan Mohammad Azim Fiqri Jamaludin, 29.
Muhammad Muzzamer yang dinobatkan sebagai Peserta Terbaik Keseluruhan mengakui, penyertaan dalam kursus itu menuntut pengorbanan besar kerana perlu membahagikan masa antara latihan penerbangan dan tugas sebagai Pegawai Penyiasat Narkotik IPD Johor Bahru Selatan.
"Saya tidak mahu cepat berputus asa kerana sejak kecil saya bercita-cita menjadi juruterbang, apatah lagi ayah saya adalah veteran air force," katanya.

Bagi Mohammad Azim Fiqri yang dianugerahkan Peserta Terbaik Penerbangan, mereka menjalani proses latihan yang sangat intensif, terutama fasa akademik dan persiapan teknikal yang memerlukan kerja keras setiap hari.
Sebagai anak polis, bapa kepada seorang cahaya mata itu menekankan, peluang yang diberikan PDRM amat bermakna kerana membuka laluan kepada pegawai kanan untuk mencapai cita-cita yang sukar dicapai di luar, memandangkan kos latihan penerbangan sangat tinggi.
Kesemua sembilan peserta kursus telah melalui latihan intensif selama dua tahun bermula 2023 dengan komitmen penuh di bawah program yang diiktiraf oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Sementara itu, Mohd Khalid dalam ucapannya berkata, PGU telah membuka laluan kepada pegawai kanan polis wanita menceburi dunia penerbangan sejak 2021 dan sehingga kini, PDRM mempunyai sembilan juruterbang wanita.
"Kehadiran juruterbang wanita ini jelas membuktikan mereka mampu melaksanakan tugas penerbangan dengan cemerlang, sekali gus mematahkan stigma bahawa profesion ini hanya untuk lelaki," katanya.
Beliau turut mengingatkan juruterbang PDRM agar terus berkhidmat dengan setia dan tidak meninggalkan pasukan untuk menyertai syarikat penerbangan komersial selepas memperoleh lesen penerbangan.
"Tindakan seumpama ini bukan sahaja mengganggu pengoperasian pasukan, malah merugikan apabila pulangan dan pelaburan gagal diterjemahkan melalui perkhidmatan berterusan kepada PDRM," katanya.
Ringkasan AI
- Nur Izzati Bohari antara enam wanita pertama ditauliahkan sebagai juruterbang helikopter PDRM
- Ketua Polis Negara menyempurnakan pemakaian Sayap Juruterbang
- Kursus ini menandakan kejayaan kumpulan perintis wanita dalam penerbangan helikopter PDRM
- Pelatihan meliputi ujian ketahanan mental dan fizikal termasuk Under Water Escape dan Kursus Jungle Survival
- Setakat ini, PDRM mempunyai sembilan juruterbang wanita, membuktikan kemampuan mereka dalam tugas penerbangan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

