Selaras agenda, hala tuju pusat zakat seluruh negara

Kerajaan disaran menubuhkan Majlis Penyelarasan Pusat Zakat Kebangsaan bagi menyelaras agenda dan hala tuju pusat zakat seluruh negara.
Kerajaan disaran menubuhkan Majlis Penyelarasan Pusat Zakat Kebangsaan bagi menyelaras agenda dan hala tuju pusat zakat seluruh negara.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Persekutuan disaran menubuhkan Majlis Penyelarasan Pusat Zakat Kebangsaan bagi menyelaras agenda dan hala tuju pusat-pusat zakat seluruh negara.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Dasar, Politik dan Pengajian Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata, langkah itu perlu dilakukan supaya penyelarasan dari segi penyaluran bantuan dan kebersamaan pusat-pusat zakat negeri dalam memenuhi keperluan negara dapat dilakukan secara efisien.

Menurutnya, penyelarasan berkenaan dilihat sebagai keperluan susulan penularan wabak Covid-19 melanda negara yang menuntut agihan bantuan lebih menyeluruh merentas sempadan negeri.

“Saya cadangkan kerajaan Pusat bersama kerajaan negeri bersama-sama lakukan anjakan pemikiran dan tindakan, selaras dengan keperluan ketika ini.

"Sekretariat Khas Majlis Pusat Zakat Kebangsaan ini boleh diterajui pengerusi yang dilantik dalam kalangan anggota tadbir urus zakat nasional dengan kerjasama profesional serta kementerian berkaitan untuk penyelarasan,” katanya kepada Sinar Harian.

Md Shukri berkata, badan itu seeloknya dipantau bawah Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan dipengerusikan bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Jelasnya, ia bukan bertujuan mengambil alih kuasa negeri atau raja-raja, sebaliknya adalah proses pelarasan kebajikan ummah.

“Agihan yang bersepadu dan perkongsian data komprehensif dapat dijanakan, ini membolehkan Direktori Zakat Kebangsaan diwujudkan bersama pelan hala tuju ketika berhadapan situasi getir seperti Covid-19,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sekiranya diselaraskan sumber zakat dan mewujudkan satu pelan induk kebajikan kebangsaan, ia selari dengan langkah kerajaan supaya tidak berlaku pertindihan atau keciciran penerima bantuan ketika ummah berdepan bencana.

“Kerajaan-kerajaan negeri diharapkan berfikiran terbuka, walaupun buat permulaan dilaksanakan dalam tempoh masa tertentu, contohnya ketika Covid-19 melanda negara, sekurang-kurangnya perpaduan kalangan negeri-negeri dapat disatukan ketika kita berdepan saat getir ini,” katanya.