Insiden jatuh laut: Seorang ditemui lemas, dua lagi masih hilang

Mangsa ditemui pada jam 8 malam Selasa oleh Pasukan Polis Marin berdekatan Jambatan Kedua Pulau Pinang.
Mangsa ditemui pada jam 8 malam Selasa oleh Pasukan Polis Marin berdekatan Jambatan Kedua Pulau Pinang.
A
A
A

PERAI – Salah seorang daripada tiga lelaki yang terjatuh ke laut dalam tiga kejadian berasingan telah ditemui lemas di perairan berhampiran Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah pada malam Selasa.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, mangsa yang berusia 31 tahun dilaporkan terjatuh dari KM 4.0 Jambatan Pulau Pinang arah ke Perai kira-kira jam 3.30 pagi, Selasa.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diketuai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dengan bantuan pelbagai agensi lain termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS).

"Sebanyak lima bot digerakkan, iaitu satu bot Maritim Malaysia, dua bot bomba, satu bot APM dan satu bot PBS Bukit Bendera," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pasukan penyelamat masih menjalankan operasi SAR untuk mencari dua mangsa lagi yang masih hilang.
Pasukan penyelamat masih menjalankan operasi SAR untuk mencari dua mangsa lagi yang masih hilang.

Tambah beliau, mayat mangsa ditemui selepas pasukan penyelamat menjalankan operasi SAR di tiga sektor kawasan pencarian, iaitu A1, A2 dan A3.

"Ia meliputi keluasan 2.69 batu nautika persegi menggunakan kaedah pencarian permukaan air (Water Surface Searching).

"Mangsa akhirnya ditemui oleh Pasukan Polis Marin pada jam 8 malam tadi (Selasa) di perairan berhampiran Jambatan Kedua Pulau Pinang sebelum mayatnya dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin di Batu Uban," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, operasi melibatkan 12 anggota termasuk penyelia dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai, dengan bantuan BBP Butterworth dan BBP Bagan Jermal menerusi unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA).

"Pihak penyelamat masih meneruskan operasi SAR bagi mencari dua lagi mangsa yang terjatuh ke laut," tambahnya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan bahawa Pulau Pinang mencatatkan tiga insiden berasingan membabitkan individu terjatuh ke laut dalam tempoh 24 jam, melibatkan dua kejadian di Jambatan Pulau Pinang dan satu kejadian di kawasan perairan Butterworth.

Kes pertama berlaku pada Isnin jam 1.41 tengah hari di Tambatan W3, Dermaga Dalam, Butterworth, manakala kes kedua berlaku di KM 4.0 Jambatan Pulau Pinang menghala ke Perai pada jam 8.22 malam, Isnin.

Kes ketiga pula melibatkan seorang lelaki berusia 31 tahun di lokasi sama pada jam 3.30 pagi, Selasa.

Pasukan penyelamat telah melancarkan operasi SAR bagi mencari kesemua mangsa yang dilaporkan terlibat.

Ringkasan AI

  • Salah seorang daripada tiga lelaki yang terjatuh ke laut telah ditemui lemas berhampiran Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah
  • Mangsa yang berusia 31 tahun terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang arah ke Perai
  • Operasi SAR diketuai Maritim Malaysia dengan bantuan pelbagai agensi dan penggunaan lima bot
  • Mayat mangsa ditemui selepas operasi pencarian di tiga sektor dengan keluasan 2.69 batu nautika persegi
  • Operasi SAR masih berlangsung untuk mencari dua lagi mangsa yang terjatuh ke laut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!