SAR rakyat Malaysia hilang di Sumatera diteruskan

PUTRAJAYA - Seorang rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang dalam kejadian banjir dan tanah runtuh di Sumatera, Indonesia disahkan selamat dan telah kembali ke tanah air pada Isnin.
Menurut Kementerian Luar Negeri, perkembangan itu dimaklumkan oleh keluarga wanita berusia 64 tahun berkenaan berikutan sebelum ini dia gagal dihubungi di Aceh.
Pada masa sama, operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang susulan kejadian tanah runtuh di Padang Panjang masih diteruskan.
Menurut kenyataan itu, Konsulat Jeneral Malaysia di Medan sentiasa menyediakan bantuan konsular kepada keluarga mangsa yang berada dalam hubungan rapat dengan pihak berkuasa Indonesia.
Tambahnya, Kementerian Luar Negeri terus memantau perkembangan kejadian banjir besar dan tanah runtuh yang melanda Aceh, Sumatera Barat dan Sumatera Utara pada 27 November lalu.
"Pihak berkuasa Indonesia melaporkan bahawa akses ke beberapa kawasan yang sebelum ini terputus telah bertambah baik, membolehkan pasukan SAR memasuki lebih banyak lokasi berikutan kerja-kerja pembersihan jalan yang sedang dijalankan.
"Jumlah individu yang pada awalnya dilaporkan hilang mula menunjukkan penurunan.
"Keadaan banjir di beberapa bahagian wilayah terjejas juga semakin stabil secara berperingkat, dengan sesetengah daerah sudah memasuki fasa pemulihan awal," katanya pada Selasa.
Namun begitu, katanya, beberapa kawasan pedalaman khususnya di Aceh Tamiang, Sumatera Barat dan wilayah Tapanuli masih berdepan kekangan dari segi akses, bekalan penting dan pemulihan perkhidmatan asas.
Setakat ini, tiada laporan baharu mengenai rakyat Malaysia yang hilang atau terjejas dalam situasi berterusan ini.
"Rakyat Malaysia yang berada atau yang sedang melalui kawasan terjejas dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, mengikuti perkembangan cuaca dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Indonesia.
"Kementerian turut menggesa rakyat Malaysia untuk mendaftar dengan mana-mana pejabat perwakilan Malaysia yang terdekat dan memastikan komunikasi berkala dengan ahli keluarga," katanya.
Tambah kenyataan itu, mana-mana rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan atau keluarga yang gagal menghubungi saudara-mara di kawasan terjejas digalakkan untuk segera menghubungi Konsulat Jeneral di talian 24 jam +62 823-6164-6046 atau e-mel mwmedan@kln.gov.my
Ringkasan AI
- Seorang rakyat Malaysia yang hilang dalam banjir dan tanah runtuh di Sumatera disahkan selamat
- Operasi SAR masih berlangsung untuk mencari rakyat Malaysia lain yang hilang
- Konsulat Jeneral Malaysia di Medan menawarkan bantuan kepada keluarga mangsa
- Kementerian Luar Negeri memantau kejadian banjir dan tanah runtuh di Aceh, Sumatera Barat dan Sumatera Utara
- Rakyat Malaysia di kawasan terjejas dinasihatkan berwaspada dan mengikuti arahan pihak berkuasa Indonesia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
