Kerajaan Madani berjaya sedia 511,544 RMM, lepasi sasaran RMK12 - Kor Ming

Kor Ming (lima, kanan) menunjukkan replika jumlah pencapaian penyediaan RMM RMK12 pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Vista Tiara pada Selasa. Foto Bernama
Kor Ming (lima, kanan) menunjukkan replika jumlah pencapaian penyediaan RMM RMK12 pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Vista Tiara pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Madani berjaya menyediakan 511,544 unit Rumah Mampu Milik (RMM) sekali gus melepasi sasaran 500,000 unit ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Beliau berkata, pencapaian itu adalah setakat 30 September lepas yang merangkumi unit RMM telah siap, sedang dalam pembinaan serta telah memperoleh kelulusan merancang.

Kejayaan itu, kata Kor Ming adalah hasil kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pemaju swasta, selain pelaksanaan reformasi perumahan Madani yang diumumkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 20 November lepas.

"Pencapaian ini antara yang memberangsangkan. Belum pernah ada kerajaan terdahulu berjaya mencapai sasaran ditetapkan.

"Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi kerajaan pertama mencipta sejarah bukan sahaja mencapai, tetapi melepasi sasaran membina 500,000 unit RMM.

"Lima mekanisme reformasi utama termasuk Perjanjian Jual Beli Secara Elektronik (eSPA), Sistem Pengurusan Berintegrasi Perumahan (HIMS) serta audit Akaun Pemajuan Perumahan (HDA). Saya yakin tiada lagi projek perumahan terbengkalai menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sentuhan Kejayaan KPKT 2025 dan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Vista Tiara Johor Bahru di Vista Tiara Danga Bay di sini pada Selasa.

Kor Ming berkata, antara negeri paling banyak dibina RMM ialah Lembah Klang, Selangor dan Johor kerana mengikut keperluan manakala KPKT telah menyelamatkan 1,333 projek sakit dan terbengkalai, melibatkan hampir 160,000 unit rumah di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun.

"Kadar pemilikan rumah bagi keluarga Malaysia kini berada pada 76.5 peratus, menunjukkan tahap kestabilan sosial dan ekonomi yang semakin kukuh,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Kor Ming berkata, kementeriannya meluluskan RM82 juta untuk pembinaan Program Residensi Rakyat (PRR) pertama di Johor, yang akan dibangunkan di Larkin.

Beliau berkata, projek itu berkonsepkan pembangunan bersepadu dan berperanan sebagai rumah transit untuk anak muda, dengan pengurusan akan dilaksanakan oleh Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ).

"Di kawasan itu, sewa tiga bilik biasanya kira-kira RM2,000, namun kerajaan menetapkan kadar RM600 untuk unit tiga bilik dan RM200 untuk unit satu bilik bagi membantu anak muda yang baru bekerja atau baru berkahwin,” katanya sambil menambah projek berkenaan dalam proses tender dan pembinaannya dijangka bermula suku pertama tahun depan. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Kerajaan Madani berjaya menyediakan 511,544 unit Rumah Mampu Milik melepasi sasaran 500,000 unit di bawah Rancangan Malaysia Ke-12
  • Kejayaan ini adalah hasil kerjasama antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pemaju swasta serta pelaksanaan reformasi perumahan Madani
  • Antara negeri paling banyak dibina RMM ialah Lembah Klang, Selangor dan Johor
  • Kadar pemilikan rumah bagi keluarga Malaysia kini adalah 76.5 peratus
  • RM82 juta diluluskan untuk pembinaan Program Residensi Rakyat pertama di Johor, akan dibangunkan di Larkin

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!