Berpakaian kurang sopan punca dua wanita dihalang masuk balai - Polis

MELAKA - Polis perjelas dakwaan dua wanita yang tidak dibenarkan memasuki pekarangan sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini untuk membuat laporan selepas didapati berpakaian kurang sopan pada Isnin.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, siasatan dijalankan sejurus menerima aduan dan mendapati insiden tersebut berlaku sekitar jam 5 petang.
Menurutnya, wanita berkenaan hadir ke IPD Jasin bagi membuat laporan berkaitan kemalangan jalan raya.
“Anggota bertugas di pintu hadapan telah meminta mereka pulang terlebih dahulu untuk menukar pakaian yang lebih bersesuaian sebelum membuat laporan.
“Ini kerana kedua-dua wanita tersebut tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Dzulkhairi berkata, pada jam 5.40 petang, wanita terbabit kembali ke IPD bersama ibunya dengan berpakaian lebih sopan dan dibenarkan masuk untuk membuat laporan polis tanpa sebarang halangan.
Beliau menegaskan etika pemakaian bagi orang awam yang berurusan di kaunter aduan polis perlu dipatuhi seperti ditetapkan melalui surat pekeliling diwartakan.
Bagaimanapun katanya, pihak polis memberikan kelonggaran bagi kes kecemasan atau yang memerlukan tindakan pantas.
“Saya turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden ini serta tidak keliru mengenai garis panduan etika pemakaian yang telah ditetapkan,” katanya.
Terdahulu, wanita berkenaan membuat aduan kepada akhbar berbahasa Cina berhubung insiden tersebut.
Wanita tersebut turut meluahkan rasa tidak puas hati kerana dihalang daripada membuat laporan polis hanya disebabkan beliau memakai skirt paras atas lutut.
Ringkasan AI
- Polis perjelas dakwaan wanita tidak dibenarkan masuk IPD Melaka untuk buat laporan kerana berpakaian kurang sopan
- Insiden berlaku sekitar jam 5 petang ketika dua wanita datang membuat laporan kemalangan jalan raya
- Dinasehatkan untuk pulang dan menukar pakaian ke yang lebih bersesuaian oleh anggota bertugas
- Kembali pada jam 5.40 petang dengan pakaian lebih sopan dan dibenarkan membuat laporan
- Polis tegaskan etika pemakaian perlu dipatuhi kecuali dalam keadaan kecemasan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


