Pahang pantau pembangunan pusat data selaras kapasiti infrastruktur

Mohamad Nizar
Mohamad Nizar
A
A
A

KUANTAN – Kerajaan Pahang akan memantau jumlah pembinaan pusat data di negeri ini bagi memastikan pembangunan selaras dengan kapasiti infrastruktur sedia ada agar tidak menjejaskan penduduk.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib berkata, langkah pemantauan itu penting kerana pusat data memerlukan bekalan elektrik dan penggunaan air yang tinggi.

“Pembangunan pusat data di Pahang akan dipantau supaya seiring dengan keupayaan infrastruktur negeri.

"Jika sumber air atau elektrik mencapai had maksimum, kita tidak akan meneruskan pembangunan tambahan itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Pas-Cheka) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini pada Selasa.

Terdahulu, Tuan Ibrahim ingin mengetahui mengenai perancangan Kerajaan Pahang susulan langkah Kerajaan Johor yang membatalkan cadangan pembangunan pusat data tahap 1 dan 2 yang menggunakan bekalan air yang tinggi.

Dalam pada itu, Mohamad Nizar memberitahu, Kerajaan Pahang telah melaksanakan pelbagai usaha untuk menarik pelaburan dalam bidang pusat data dan kecerdasan buatan (AI).

Katanya, antara langkah utama ialah penyediaan zon berpotensi tinggi di Gambang dan Gebeng yang dikenal pasti berdasarkan kesediaan infrastruktur asas.

Beliau menambah, Kerajaan Pahang sentiasa bekerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (S-GLC) serta agensi persekutuan seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi mempromosikan Pahang sebagai destinasi pelaburan digital strategik di Pantai Timur.

Artikel Berkaitan:

"Seiring dengan usaha itu, kerajaan negeri sedang menyemak semula Pelan Digital Pahang 2026-2030 bagi memperkukuh ekosistem digital negeri serta menarik pelaburan berasaskan teknologi masa hadapan," katanya

 

 

Ringkasan AI

  • Kerajaan Pahang akan memantau jumlah pembinaan pusat data untuk memastikan pembangunan bersesuaian dengan kapasiti infrastruktur
  • Pusat data memerlukan bekalan elektrik dan air yang tinggi sehingga pemantauan adalah penting
  • Kembangan tambahan pusat data akan dihentikan jika sumber air atau elektrik mencapai had maksimum
  • Usaha menarik pelaburan dalam bidang pusat data dan AI termasuk penyediaan zon berpotensi tinggi di Gambang dan Gebeng
  • Kerjasama dengan S-GLC dan agensi persekutuan untuk promosi Pahang sebagai destinasi pelaburan digital di Pantai Timur

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!