Lain orang lain cara berkurung

A
A
A

KORONAVIRUS (Covid-19) semakin mengganas di seluruh dunia. Lebih dua bilion penduduk seluruh globe terperangkap di rumah, tidak dibenarkan bergerak, hendak mendapatkan barangan keperluan pun sukar.

Seluruh pelosok dunia dicengkam ketakutan, setiap saat melihat angka terkini tentang kematian. Semua berkurung dalam kebimbangan.

Malangnya, di tempat kita masih ada sesetengah orang yang tidak prihatin dan melanggar larangan pergerakan dan melanggar undang-undang. Macamlah negara ini opah dia punya.

KETIKA polis dan anggota keselamatan lain bertungkus lumus mengawal pergerakan manusia, sesetengah orang kita sombong menghalang tugas pihak berkuasa.

Seperti yang ditularkan di media sosial sekumpulan orang memaki-hamun anggota polis, tidak langsung menghiraukan arahan. Orang yang sombong ini tidak takut virus, berdegil dan macam hendak menegaskan undang-undang sendiri.

Pihak polis bertindak tegas dan menangkap puak-puak yang keras kepala ini. Kumpulan pemabuk ini memang patut diajar. Tok menyokong penuh tindakan polis. Tangkaplah siapa sahaja yang degil dan menyusahkan orang lain.

SEPANJANG tempoh kawalan pergerakan inilah kita disyorkan muhasabah diri dan menginsafi keadaan dengan membanyakkan doa untuk kesejahteraan.

Inilah ketikanya kita merapatkan diri dengan anggota keluarga. Inilah masanya ayah menjadi imam mengetuai solat seisi keluarga.

Artikel Berkaitan:

Pada waktu inilah anak-anak boleh mengetahui sama ada ayah mereka boleh menjadi imam. Mereka tahu ayat dan surah mana yang ayah mereka hafal.Bagi ayah yang baik dan sedar diri, waktu seperti inilah mereka sepatutnya mempelajari dan memperbaiki mana-mana ayat dan surah.

Tok yakin tempoh berkurung yang dilanjutkan ini dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan. Semoga ada juga pengajaran daripada Covid-19.

SEORANG sahabat Tok menelefon mengadu hal. Masalah dia ialah perkahwinan baharunya yang selama lebih dua tahun itu dirahsiakan daripada isteri pertama.

Seperti yang diceritakan biasanya dia boleh mencuri-curi mengunjungi isteri mudanya ketika pulang dari pejabat atau ketika keluar ke masjid untuk solat Maghrib dan Isyak.

Kini sudah masuk minggu kedua dia tidak ke pejabat tidak juga ke masjid, maka gundah-gulanalah dia mengingat isteri mudanya.

“Lagi lama Perintah Kawalan Pergerakan, lagi menderita saya. Macam mana?”

Nasihat Tok pada sahabat itu, boleh berjumpa isteri mudanya itu di pasar raya sebab ketua keluarga dibenarkan untuk membeli barangan keperluan.

Cuma bertemu di pasar raya lagi besar ujiannya sebab dia dan isteri mudanya itu tidak boleh berdekatan, kena penjarakkan sosial sekurang-kurangnya satu meter.

Moral cerita sama ada musim Covid-19 atau musim-musim lain, jangan kahwin sembunyi-sembunyi. Benda baik, jangan main rahsia-rahsia!

MUSIM berkurung seperti ini adalah juga musim berita palsu. Baik di media sosial, menerusi telefon hatta di pasar raya, ada sahaja tersebar berita palsu.

Walaupun amaran telah diberi supaya jangan menyebar berita palsu tetapi ada sekumpulan manusia yang memang tidak ada kerja lain kecuali membuat dan menyebar berita palsu.

Pihak berwajib pun gagal mengawal berita palsu. Maka Tok syorkan kita sendiri, sebagai manusia siuman, mengawal perasaan dengan tidak mudah terpengaruh dan mempercayai berita palsu itu.

Biarlah orang tidak siuman itu terus syok sendiri menyebar berita palsu. Mudah-mudahan sampai masanya nanti pihak berkuasa berjaya mengesan, menangkap dan menghukum mereka.

MACAM-MACAM cara kreatif ditularkan di media sosial sepanjang musim kawalan pergerakan ini.

Ada yang bersenam di dalam rumah, ada yang membuat kerja-kerja DIY menghiasi rumah. Ada juga yang menonton TV, makan dan tidur sahaja.

Datuk Seri Bung Moktar Radin menularkan di media sosial menunjukkan dia sedang bersantai dan berendam di kolam renang di rumahnya.

Untunglah dia ada kolam renang dan boleh berendam sepanjang tempoh berkurung. Ada orang usahkan hendak berenang, hendak bayar bil air pun tak cukup duit.