Ayah turun lawan ombak demi anak naik pentas konvo

KOTA KINABALU - Di sebalik kegemilangan Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) Ke-27 baru-baru ini, terselit kisah anak nelayan dari Kota Marudu yang menukar 'kesunyian' rumahnya menjadi harapan yang akhirnya membawa dirinya ke menara gading.
Marni Roszdi, 23, antara yang diraikan daripada 3,807 graduan dan membesar dalam sebuah keluarga yang bergantung sepenuhnya kepada hasil laut.
Mengimbas kembali saat menerima tawaran ke UMS, Marni yang juga aak kelima daripada tujuh beradik dan graduan Fakulti Perhutanan Tropika UMS berkata, suasana rumah ketika itu seakan terhenti.
"Rumah kami tiba-tiba senyap. Ibu bapa bimbang bagaimana hendak menampung pengajian saya, maklumlah ayah hanya bergantung kepada hasil laut sebagai sumber pendapatan keluarga.
"Namun ayah meyakinkan saya untuk terus sambung pengajian dan berjanji akan melawan ombak untuk mencari rezeki bagi membiaya yuran pengajian saya," katanya selepas majlis konvokesyen tersebut.
Marni berkata, sejak hari itu, ayahnya turun ke laut setiap subuh, menempuh ombak dan cuaca yang adakalanya tidak menentu demi melihat impiannya tidak tenggelam bersama kekangan hidup.
Dalam masa sama, Marni berkata, pandemik Covid-19 antara cabaran yang terpaksa dihadapi mereka sekeluarga.
"Cabaran bertambah ketika pandemik Covid-19, apabila pendapatan keluarga jatuh merudum.
"Saya hampir berputus asa apabila wang saku tidak mencukupi, namun saya memilih untuk bertahan dengan bekerja sebagai Sukarelawan Bilik Gerakan Covid-19 UMS, menerima elaun RM20 sehari.
"Walaupun jumlahnya kecil, tetapi amat besar ertinya bagi seorang pelajar luar bandar seperti saya," katanya.
Pada masa sama, Marni berkata, sokongan moral warga Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS menjadi penyokong penting yang memulihkan kekuatannya setiap kali langkahnya hampir longlai.
"Walaupun menggalas komitmen sebagai ahli unit beruniform Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA) serta aktif dalam pelbagai aktiviti universiti, saya tetap berjaya mengekalkan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.0 ke atas selama lapan semester.
"Hari ini saya berdiri sebagai graduan hasil doa mama dan titik peluh bapa. Pengorbanan mereka adalah sebab saya sampai ke sini," kongsinya dengan sebak.
Sementara itu, kisah perjalanan Marni turut menyentuh hati Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor, yang menyifatkannya sebagai gambaran harapan sebenar rakyat Sabah terhadap pendidikan.
"Kisah Marni menggambarkan UMS sebagai universiti harapan rakyat Sabah. Ia menunjukkan bahawa kejayaan bukan ditentukan oleh kemewahan, tetapi oleh usaha, keberanian dan doa ibu bapa.
"Pengorbanan keluarganya, semangat ayahnya menempuh ombak demi masa depan anak, dan keteguhan Marni menghadapi cabaran hidup adalah lambang nilai sebenar UMS. Kisah ini wajar menjadi inspirasi kepada semua pelajar," katanya.
Ringkasan AI
- Marni Roszdi, anak nelayan dari Kota Marudu, graduan Universiti Malaysia Sabah
- Besar dalam keluarga bergantung kepada hasil laut, ayahnya turun ke laut setiap subuh demi biaya pengajian
- Menghadapi cabaran kewangan terutama semasa pandemik Covid-19, bekerja sebagai Sukarelawan Bilik Gerakan Covid-19 UMS
- Menggalas komitmen dalam pelbagai aktiviti universiti, kekal PNGK 3.0 ke atas selama lapan semester
- Kisahnya menjadi inspirasi, menggambarkan nilai usaha, keberanian, dan doa dalam mencapai kejayaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

