X

Kindly register in order to view this article
!

PKPD akan diperluaskan jika Covid-19 meningkat

Noor Azmi (tengah) melawat Klinik Kesihatan Gunung Semanggol, hari ini.
A
A

BAGAN SERAI - Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan diperluaskan di beberapa daerah lagi selain Simpang Renggam, Johor, sekiranya penularan wabak Covid-19 masih menunjukkan trend meningkat.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, pelaksanaan itu hanya akan diisytiharkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) di bawah Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri dan dipersetujui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Bagaimanapun, kita lebih menumpukan kawasan yang diwartakan sebagai zon merah ketika ini sebelum membuat sebarang keputusan (PKPD). Bagi kawasan ini, kita perketatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Bagi 39 daerah yang kekal sebagai zon hijau, kita akan pantau dan kepimpinan tempatan perlu memainkan peranan memastikan daerah tersebut kekal selamat," katanya selepas mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan Gunung Semanggol di sini hari ini.

Noor Azmi (tiga dari kanan) turun padang melawat Klinik Kesihatan Gunung Semanggol hari ini.
Noor Azmi (tiga dari kanan) turun padang melawat Klinik Kesihatan Gunung Semanggol hari ini.

Dalam perkembangan lain, Noor Azmi tidak menerima sebarang maklumat berkaitan tular mesej kononnya kementeriannya sedang mengesan individu hadir ke majlis akad nikah di Masjid Al-Umm, Bangi dan majlis perkahwinan di Putrajaya.

Sebaliknya beliau menasihatkan individu yang menunjukkan simptom awal Covid-19 untuk lakukan saringan di klinik kesihatan atau hospital.

"Kementerian menasihatkan sesiapa sahaja yang hadir pada sebarang majlis keramaian pada penghujung Februari dan awal Mac, di sarankan membuat ujian saringan kesihatan.

"Kita amat bimbang berikutan beberapa kes positif wabak itu dikesan berpunca daripada majlis seperti di Teluk Intan. Jangan sorok cerita, jika ada pergi kenduri dalam tempoh itu, terus terang sahaja," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus