Tempat kerja bebas dadah jadi piawaian operasi syarikat

GEORGE TOWN - Semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Negeri Pulau Pinang, swasta dan sektor industri diseru menjadikan Program Tempat Kerja Bebas Dadah (Tekad) sebagai satu piawaian operasi syarikat.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Program Tekad bukan sekadar prosedur pematuhan undang-undang sebaliknya merupakan satu pelaburan penting untuk masa depan organisasi.
Menurutnya, apabila seseorang pekerja bebas daripada pengaruh dadah, mereka mampu bekerja lebih fokus, mengurangkan risiko kemalangan, meningkatkan produktiviti dan memelihara imej organisasi.
"Di Pulau Pinang, kita sedang memacu pelbagai agenda pembangunan ekonomi, namun pembangunan yang paling utama tetap membabitkan pembangunan modal insan dan teguh integritinya.
"Sebuah organisasi hanya mampu melangkah jauh apabila pekerjanya berada dalam keadaan terbaik. Jesteru kemajuan ekonomi juga secara tidak langsung bergantung kepada kekuatan emosi, fizikal serta integriti warga kerja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sijil Pengiktirafan Program Tekad kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), di sini pada Isnin.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Zainudin Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir Pathmanathan K.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, kejayaan PBAPP menyertai dan mematuhi program Tekad bukan satu pencapaian kecil kerana ia memerlukan kepimpinan jelas, dasar tegas dan komitmen menyeluruh daripada semua warga kerja syarikat tersebut.
Katanya, PBAPP mencipta sejarah sebagai operator air pertama di Malaysia dan syarikat berkait kerajaan negeri sulung di Pulau Pinang yang mencapai pematuhan penuh piawaian Tekad.
"Selain itu, PBAPP turut melaksanakan program sokongan bersama AADK untuk klien Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Kampung Selamat pada Ogos lalu sebagai sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR).
''Ini merupakan satu langkah yang amat baik kerana ia mampu mendekatkan masyarakat dengan klien-klien Puspen, seterusnya membantu mereka kembali ke jalan pemulihan,'' katanya.
Beliau berkata, PBAPP turut merancang menyediakan latihan vokasional termasuk kerja perpaipan kepada klien Puspen, satu usaha yang disifatkannya sebagai peluang kedua yang wajar diberikan kepada mereka yang ingin pulih dan kembali ke masyarakat.
Ringkasan AI
- Semua GLC Negeri Pulau Pinang, swasta dan sektor industri diseru menjadikan Program Tekad sebagai piawaian operasi
- Program Tekad dianggap sebagai pelaburan penting untuk masa depan organisasi, bukan sekadar pematuhan undang-undang
- Kebebasan dari pengaruh dadah meningkatkan fokus kerja, produktiviti, dan memelihara imej organisasi
- Ketua Menteri Pulau Pinang menyatakan pembangunan modal insan dan integriti sebagai asas kemajuan ekonomi
- PBAPP diiktiraf sebagai operator air pertama di Malaysia menyertai dan mematuhi sepenuhnya piawaian Tekad serta melaksanakan program CSR dengan AADK
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

