Wanita dipecat kerana datang kerja terlalu awal

ALICANTE – Seorang wanita Sepanyol baru-baru ini membawa bekas majikannya ke mahkamah selepas dipecat kerana sering tiba di tempat kerja terlalu awal, satu kejadian yang menimbulkan kontroversi mengenai hak dan tanggungjawab pekerja.
Wanita muda itu, yang bekerja di sebuah syarikat penghantaran di Alicante, biasanya tiba di pejabat antara jam 6:45 hingga 7 pagi waktu tempatan, walaupun kontraknya menetapkan waktu mula kerja pada jam 7:30 pagi waktu tempatan.
Kedatangan lebih awal ini menyebabkan dia memulakan tugasan sebelum rakan sekerjanya yang lain, hingga menimbulkan ketidakpuasan hati pengurusnya.
Dia mula ditegur pada 2023 kerana kebiasaannya tersebut, namun terus mengabaikan amaran yang diberikan.
Menurut majikan, tindakan itu dianggap sebagai gangguan terhadap pengurusan dan menjejaskan peraturan dalaman syarikat.
Awal tahun ini, pengurus memutuskan untuk memberhentikan pekerja berkenaan atas alasan 'kesalahan serius'.
Majikan berhujah bahawa dengan tiba terlalu awal, pekerja itu tidak mempunyai tugas untuk dijalankan pada waktu tersebut dan secara tidak langsung tidak menyumbang kepada syarikat.
Namun, pekerja tersebut menentang keputusan itu dan membawa kes ke mahkamah sosial di Alicante.
Mahkamah kemudian memihak kepada majikan, menegaskan bahawa dengan berulang kali mengabaikan amaran pengurusan, tingkah laku pekerja telah memberi kesan negatif terhadap hubungan pekerja-majikan.
“Perbuatan pekerja memberi impak terhadap hubungan kepercayaan dan kesetiaan, yang terjejas dengan ketara kerana walaupun syarikat memberi amaran,pengadu tetap memasuki pejabat lebih awal.
“Akhirnya, kelakuan yang dikaitkan dengan pekerja ini dianggap cukup berat dan penting untuk diklasifikasikan sebagai salah laku sangat serius termasuk ketidaksetiaan, pelanggaran kepercayaan dan ketidakpatuhan, yang membenarkan pemutusan hubungan pekerjaan,” menurut keputusan mahkamah.
Kes ini menimbulkan perdebatan dalam kalangan masyarakat dan pakar sumber manusia mengenai had waktu kerja, hak pekerja, dan tanggungjawab majikan.
Ia juga menunjukkan bahawa bukan sahaja lewat, malah datang terlalu awal secara konsisten boleh dianggap sebagai pelanggaran serius oleh sesetengah organisasi. - Agensi
Ringkasan AI
- Seorang wanita Sepanyol dipecat kerana sering tiba di tempat kerja terlalu awal
- Dia tiba di pejabat antara jam 6:45 hingga 7 pagi, walaupun waktu mula kerja pada jam 7:30 pagi
- Kedatangan lebih awal ini menimbulkan ketidakpuasan hati pengurusnya
- Pekerja tersebut dipecat atas alasan 'kesalahan serius' karena tidak mengindahkan amaran pengurus
- Mahkamah memihak kepada majikan, menganggap tindakan pekerja menjejaskan hubungan kepercayaan dan kesetiaan dengan syarikat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

