Jangan bawa pulang Alexander Arnold ke Liverpool

Trent Alexander-Arnold
Trent Alexander-Arnold
A
A
A

BEKAS pertahanan Liverpool, Glen Johnson, memberi amaran kepada bekas kelabnya itu supaya tidak membawa pulang Trent Alexander-Arnold ke Anfield susulan prestasi tidak menentu pemain berkenaan bersama Real Madrid.

Menurutnya, penyokong The Reds juga mungkin tidak mahu melihat kepulangan pemain berusia 28 tahun itu, terutama selepas prestasinya merosot sejak meninggalkan Anfield pada tahun lalu.

Alexander-Arnold yang menghabiskan 20 tahun bersama Liverpool sebelum berhijrah secara percuma ke Madrid pada penghujung musim 2024-25, setakat ini hanya membuat enam penampilan dalam saingan La Liga musim ini.

Lebih membimbangkan, pemain antarabangsa England itu turut kehilangan tempat dalam perancangan Jose Mourinho apabila berada di belakang Federico Valverde dan Denzel Dumfries dalam persaingan merebut posisi bek kanan.

"Ini bukan sesuatu yang saya mahu lihat kerana Trent bukan lagi pemain yang sama sejak meninggalkan Liverpool.

Artikel Berkaitan:

"Dia sememangnya luar biasa ketika bersama Liverpool dan ada kalanya lebih baik kita membiarkan segala kenangan itu kekal begitu.

"Saya tidak fikir dia pemain yang sama kerana jika masih berada pada tahap terbaik, dia pasti mendapat tempat dalam pasukan Real Madrid dan kita tidak perlu membincangkan perkara ini," katanya.

Johnson turut bimbang kepulangan Alexander-Arnold ke Anfield boleh menjejaskan legasi yang dibinanya sepanjang dua dekad bersama kelab itu sekiranya gagal mengulangi prestasi terbaiknya.

"Jika dia kembali ke Liverpool, penyokong pastinya mengharapkan Trent yang dahulu, tetapi jika dia gagal memenuhi jangkaan itu, keadaan berkenaan boleh mula mencalarkan legasi yang pernah dibinanya.

"Saya tidak mahu melihat perkara itu berlaku dan saya cukup yakin penyokong juga mempunyai pandangan yang sama," katanya.

Kedudukan Alexander-Arnold yang semakin terpinggir di Santiago Bernabeu turut terserlah ketika aksi El Clasico menentang Barcelona apabila dia hanya dimasukkan pada masa kecederaan babak kedua dalam kemenangan 2-1 Real Madrid.

Situasi itu pastinya menimbulkan persoalan mengenai masa depan pemain berkenaan menjelang jendela perpindahan Januari, terutama jika dia terus gagal mendapatkan minit permainan yang konsisten.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!