Ops Samseng Jalanan: Remaja 16 tahun antara 11 positif dadah

IPOH - Pelajar sekolah menengah antara individu yang ditahan dalam Operasi Bersepadu Samseng Jalanan di Station 18 dekat Pasir Putih, lokasi dikenali sebagai hot spot geng rempit.
Operasi bermula jam 12 tengah malam hingga 12 tengah hari pada Ahad itu diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perak bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, sepanjang operasi, seramai 335 individu berusia 15 hingga 42 tahun diperiksa, termasuk pelajar sekolah menengah dan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Hasil pemeriksaan ke atas 197 kenderaan pula, 30 motosikal telah disita kerana pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Seorang lelaki warga tempatan turut ditahan atas kesalahan menunggang motosikal secara melulu dan membahayakan," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, dalam operasi itu, sebanyak 158 saman trafik, 82 saman dan notis JPJ, serta 11 kompaun dan notis JAS dikeluarkan.
Menurutnya, dalam tindakan bersama AADK, seramai 11 individu dikesan positif dadah, termasuk seorang remaja lelaki berusia 16 tahun.
"Semua tangkapan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan 1998)," katanya.
Noor Hisam berkata, operasi bersepadu seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memperkasakan tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap samseng jalanan di negeri ini.
"Ini merupakan satu usaha PDRM dalam mengurangkan kes kemalangan jalan raya serta membantu mencegah berlakunya jenayah jalanan khususnya di Perak," katanya.
Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas bagi menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya.
Ringkasan AI
- Pelajar sekolah menengah antara yang ditahan dalam Operasi Bersepadu Samseng Jalanan di Station 18, Pasir Putih
- Operasi diketuai PDRM Perak, JPJ, JAS dan AADK, berlangsung selama 12 jam
- Seramai 335 individu berusia 15 hingga 42 tahun diperiksa, termasuk pelajar dan lepasan SPM
- Sebanyak 30 motosikal disita atas pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
- Seramai 11 individu dikesan positif dadah, operasi ini akan diteruskan bagi mengurangkan kemalangan dan jenayah jalanan di Perak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

