WPIMC 2.0 terus perkasa kempen anti buli melalui sukan

Setiausaha Agung Kelab Muay Thai Pahlawan Malaysia, Dr Noor Azam Samsudin (kiri) bersama sensasi sukan Muay Thai negara, Johan 'Jojo' Ghazali ketika sidang media Wilayah Pahlawan Muay Thai Antarabangsa 2.0 (WPIMC) yang berlangusng pada Sabtu.
Setiausaha Agung Kelab Muay Thai Pahlawan Malaysia, Dr Noor Azam Samsudin (kiri) bersama sensasi sukan Muay Thai negara, Johan 'Jojo' Ghazali ketika sidang media Wilayah Pahlawan Muay Thai Antarabangsa 2.0 (WPIMC) yang berlangusng pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Usaha memerangi budaya buli terus menjadi tumpuan utama penganjuran Wilayah Pahlawan Muay Thai Antarabangsa 2.0 (WPIMC) apabila kejohanan itu sekali lagi memperkukuh kempen anti buli menerusi pendekatan sukan yang lebih profesional dan berintegriti.

Setiausaha Agung Kelab Muay Thai Pahlawan Malaysia, Dr Noor Azam Samsudin, berkata pihaknya komited menggunakan platform WPIMC untuk meningkatkan kesedaran mengenai bahaya gejala buli, khususnya dalam kalangan remaja, dengan mengetengahkan disiplin sebenar sukan Muay Thai.

“Kita mahu masyarakat faham bahawa Muay Thai bukan gejala gengsterisme. Dengan melatih atlet secara profesional, kita mendidik mereka tentang disiplin, hormat dan nilai persahabatan.

Itu sebabnya kempen anti buli ini kita teruskan sejak edisi pertama,” katanya pada sidang media di sin, pada Sabtu.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau menjelaskan WPIMC 2.0 tidak memerlukan gimik murahan untuk mempromosikan acara berkenaan kerana WPMIMC sudah berdiri atas kelasnya tersendiri serta telah dikenali khalayak sukan Muay Thai tempatan dan antarabangsa.

Sebab itu ujar Noor Azam, WPIMC 2.0 tampil lebih tegas apabila hanya atlet tulen dibenarkan memasuki gelanggang, berbeza dengan trend acara bela diri lain yang semakin menampilkan selebriti sekadar untuk menarik penonton.

Jelasnya, setiap peserta melalui tapisan ketat bagi memastikan hanya fighter sebenar diberi peluang beraksi, sekali gus mengekalkan integriti sukan Muay Thai dan mengelakkan sebarang unsur yang boleh memesongkan imej sukan itu.

Dalam masa sama, edisi kali ini turut memperkenalkan kelainan dengan elemen hiburan, penggunaan LED dan sistem audio berimpak tinggi, selain menerima sokongan awal daripada Tourism Malaysia.

Menurut Dr Noor Azam, kerjasama itu penting bagi memanfaatkan momentum Tahun Melawat Malaysia 2026, memandangkan Muay Thai mempunyai komuniti antarabangsa yang besar dan berpotensi menarik pelancong yang aktif dalam sukan bela diri.

Artikel Berkaitan:

Pahlawan 2.0 yang bermula pada Sabtu dan acara kemuncaknya bermula jam 5 petang ini menghimpunkan barisan atlet profesional termasuk bekas peserta One Championship, jaguh tempatan serta pemenang pingat antarabangsa, sekali gus menjanjikan aksi kompetitif yang mampu mengangkat nama Malaysia dalam sukan Muay Thai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!