PJRM terus bantu rakyat tangani kos sara hidup

SHAH ALAM – Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) terus menjadi antara intervensi kerajaan yang berkesan dalam membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat sejak dilancarkan pada 11 Januari 2023.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, PJRM yang menawarkan diskaun antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran, terus mendapat sambutan luar biasa daripada rakyat.
Menurutnya, dalam tempoh tiga tahun pentadbiran Kerajaan Madani, pemerkasaan PJRM dilaksanakan secara konsisten.

"Ini melibatkan penambahan peruntukan saban tahun dan peluasan pelaksanaan merangkumi 222 kawasan Parlimen, 600 Dewan Undangan Negeri (DUN), serta 40 zon di Wilayah Persekutuan.
“Selain itu, bermula Julai 2025, KPDN turut meningkatkan kekerapan penganjuran PJRM kepada sekurang-kurangnya dua kali sebulan bagi setiap kawasan DUN.
“Jumlah unit penyimpanan stok (SKU) juga ditambah, dan lebih ramai rakan strategik dalam sektor peruncitan turut terlibat di seluruh negara,” katanya pada Jumaat.
Terdahulu, Armizan turut menghadiri Program Rancakkan Madani Bersama Malaysiaku yang berlangsung bermula Jumaat hingga 7 Disember di Dataran Putrajaya.
Program berskala nasional itu menghimpunkan pelbagai inisiatif utama kerajaan dengan pengisian yang meriah, termasuk pameran reruai kementerian dan agensi, perkhidmatan kesihatan, karnival kerjaya, mini karnival pelancongan dan pelbagai lagi aktiviti untuk segenap lapisan masyarakat.
Mengulas lanjut, Armizan berkata takwim PJRM turut diperkenalkan bagi membolehkan rakyat mengetahui maklumat berkaitan penganjuran program di kawasan berhampiran.

“Takwim ini boleh diakses menerusi laman web KPDN di pautan: https://www.kpdn.gov.my/ms/jualan-rahmah.
“Pada tahun 2023, sebanyak 6,870 siri PJRM telah berjaya dianjurkan, dan jumlah itu meningkat kepada 12,419 pada tahun 2024.
“Manakala, sehingga 30 November 2025, sebanyak 23,030 siri PJRM telah dilaksanakan di seluruh negara,” katanya.
Ujarnya, KPDN akan meneruskan inisiatif PJRM sepanjang tahun 2026 dan kekal komited untuk memperkasa pelaksanaannya agar manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh oleh semua lapisan rakyat.
Ringkasan AI
- Program Jualan Rahmah Madani dilancarkan pada 11 Januari 2023 untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat
- Menawarkan diskaun 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran
- Pemerkasaan PJRM dilaksanakan secara konsisten dengan penambahan peruntukan setiap tahun dan peluasan pelaksanaan
- Terdapat peningkatan kekerapan penganjuran PJRM menjadi dua kali sebulan bagi setiap DUN mulai Julai 2025
- Sebanyak 23,030 PJRM telah dilaksanakan di seluruh negara sehingga 30 November 2025
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
