Lagi 17 kes positif Covid-19 di kawasan PKPD Simpang Renggam

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA- Sebanyak 17 kes baharu positif Covid-19 dikesan di Kampung Dato' Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato' Ibrahim Majid, Simpang Renggam, Johor yang telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dalam tempoh 24 jam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga jam 12 tengah hari, 74 kes positif dilaporkan di kawasan tersebut.

"Hasil siasatan menunjukkan terdapat empat kluster di kawasan berkenaan yang berkaitan dengan kluster tabligh," katanya.

Menurutnya, peserta tabligh berkenaan dipercayai telah menghadiri majlis perkahwinan dan solat jemaah di kawasan berkenaan.

"Sehingga kini, sebanyak 88 kes positif Covid-19 di daerah Kluang, Johor," katanya.

Beliau berkata, empat kematian dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan mempunyai kaitan secara tidak langsung dari kawasan tersebut.

"Sebab itulah kita laksanakan PKPD di kawasan tersebut," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kementerian mensasarkan 300 sampel ujian diambil setiap hari bermula hari ini.

Artikel Berkaitan:

"Persampelan akan diutamakan kepada golongan kontak rapat, individu bergejala, dan golongan atau kumpulan yang berisiko terlebih dahulu," katanya.

Menurutnya, kerja- kerja pembersihan dan disinfeksi di tempat awam akan dijalankan dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Majlis Daerah Simpang Renggam.

"Kerja pembersihan akan bertumpu di tempat tumpuan awam.

"Penerangan juga akan diberi kepada semua penduduk tentang tatacara disinfeksi rumah yang betul," katanya.

Semalam, KKM mengesahkan 61 kes positif jangkitan Covid-19 di dua kawasan yang dikenakan PKPD.