KDEBWM serah 114 lori baharu perkukuh operasi sisa di Sepang



CYBERJAYA – KDEB Waste Management (KDEBWM) menyerahkan 114 kenderaan operasi baharu kepada Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) sebagai sebahagian daripada pelan penaiktarafan aset terbesar syarikat itu di daerah pesat membangun tersebut
Pengarah Urusan KDEBWM, Datuk Ramli Mohd Tahir berkata, penyerahan itu menandakan komitmen KDEBWM dalam memperkukuh sistem pengurusan sisa pepejal di Sepang yang menjadi pintu masuk antarabangsa dan mencerminkan imej Selangor di mata dunia, selain menuntut tahap kebersihan bertaraf global.
Menurut beliau, kontrak baharu KDEBWM bersama MPSepang bagi tempoh 1 Disember hingga 31 Ogos 2032 bukan sekadar penyambungan perkhidmatan, tetapi platform untuk melaksanakan transformasi operasi yang lebih sistematik, berasaskan data serta responsif terhadap keperluan lapangan.
“Aset baharu itu merangkumi 39 lori kompaktor termasuk empat mini kompaktor untuk kawasan sempit dan berisiko tinggi serta 71 armroll dengan nilai pelaburan berjumlah RM39 juta bagi meningkatkan kapasiti pengurusan tong 'roll-on/roll-off' sektor komersial, industri dan sisa pukal,” katanya ketika ditemui pemberita di majlis penyerahan lori di MPSepang, di sini pada Jumaat.
Turut hadir, Yang Dipertua MPSepang, Dr Ani Ahmad dan ketua-ketua whip.
media[3361932]
Ujar beliau, semua kenderaan menggunakan casis Fuso, Isuzu dan UD dari Jepun yang diiktiraf kerana kejuruteraan berkualiti, ketahanan dalam operasi intensif dan kestabilan jangka panjang, sekali gus membolehkan KDEBWM memberikan perkhidmatan lebih terancang, bermutu dan konsisten.
Ramli menegaskan, KDEBWM tidak sekadar mahu mematuhi keperluan kontrak, sebaliknya komited melangkah daripada tahap kepatuhan kepada kecemerlangan melalui agenda operasi yang menyokong aspirasi pihak berkuasa tempatan.
“Kami mahu melangkah lebih jauh daripada sekadar compliance kepada excellence,” jelas beliau.
Menyentuh mengenai teknologi baharu yang digunakan, beliau berkata, semua lori baharu dilengkapi dengan 'vehicle monitor system' yang membolehkan pemantauan 24 jam sehari.
“Jadinya mereka tidak boleh menjejak langsung ke kawasan yang kami telah tanda iaitu ke arah tempat pembuangan sampah haram,” katanya.
Dalam pada itu, Ani menyeru semua masyarakat mengambil tanggungjawab menjaga kebersihan di kawasan persekitaran dengan mengambil budaya rakyat Jepun sebagai contoh kehidupan.
“Sepang ini merupakan pintu masuk ke Malaysia dan tahun depan merupakan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Selangor 2026, jadi kita perlu memberi imej yang baik kepada pengembara asing,” katanya.
Ringkasan AI
- CYBERJAYA - KDEB Waste Management menyerahkan 114 kenderaan operasi baharu kepada Majlis Perbandaran Sepang sebagai sebahagian daripada pelan penaiktarafan aset
- Penyerahan ini bertujuan memperkukuh sistem pengurusan sisa pepejal di Sepang, mencerminkan imej Selangor
- Kontrak baharu bertujuan untuk transformasi operasi yang lebih sistematik dan berasaskan data
- Aset baharu termasuk 39 lori kompaktor dan 71 armroll dengan nilai pelaburan RM39 juta
- Kenderaan baru menggunakan chassis dari Jepun yang berkualiti untuk perkhidmatan yang lebih terancang dan konsisten
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

