Ibu hamil 8 bulan nekad redah banjir demi selamatkan diri dan kandungan

HULU LANGAT - Seorang wanita sarat mengandung nekad mengharung banjir untuk ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Rendah Agama (SRA) Dusun Nanding dekat sini, selepas rumahnya dinaiki air akibat hujan lebat berterusan malam semalam.
Biasmaiha Daud, 36, yang kini mengandung lapan bulan terpaksa berjalan sejauh satu kilometer selepas kawasan rumahnya di Taman Seri Nanding, yang baru setahun didiaminya itu dinaiki air sedalam kira-kira 0.3 meter sejak 7 pagi.
"Saya meredah banjir bersama jiran yang juga mengandung empat bulan. Kami berdua membuat keputusan untuk keluar ke tempat selamat kerana bimbang air naik lebih tinggi, tambahan lagi ketika itu suami masing-masing telah keluar membantu mangsa banjir yang lain.
"Saya hanya sempat bawa buku kesihatan untuk ibu mengandung dan kad pengenalan selepas air mula naik pada 7 pagi tadi… ini pertama kali saya redah banjir kerana sebelum ini rumah tidak pernah dinaiki air,” katanya ketika ditemui Bernama di PPS SRA Dusun Nanding di sini hari ini.
Biasmaiha berkata, dia dijadualkan bersalin pada Januari depan namun doktor memaklumkan yang proses kelahiran anak sulungnya itu boleh berlaku dalam masa terdekat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, laluan utama di kawasan Dusun Nanding yang sebelum ini ditutup akibat dinaiki air sejak malam tadi, telah dibuka semula kepada pengguna sekitar 4 petang tadi selepas kerja pembersihan selesai dijalankan oleh pihak berkuasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abdul Aziz pula berkata, tinjauan awal mendapati hampir 50 rumah di Kampung Sungai Sop terjejas akibat banjir dengan lumpur tebal memasuki kediaman akibat kedudukan kawasan itu yang terletak berhampiran cerun setinggi lebih 12.1 meter.
Johan berkata, kebelakangan ini, beberapa kawasan di Dusun Tua kerap dinaiki air, malah ada rumah yang terjejas lebih lima kali sebulan berikutan pembinaan struktur tembok lebuh raya berhampiran menyebabkan lokasi tertentu menjadi kawasan banjir berulang.
Tinjauan Bernama mendapati terdapat dua PPS dibuka di kawasan itu, iaitu SRA Dusun Nanding dan Sekolah Kebangsaan Sungai Serai dengan menempatkan 245 mangsa terdiri daripada 88 keluarga. - Bernama
Ringkasan AI
- Wanita sarat mengandung mengharung banjir untuk ke PPS di SRA Dusun Nanding dekat Hulu Langat selepas rumahnya dinaiki air
- Biasmaiha Daud mengandung lapan bulan terpaksa berjalan sejauh satu kilometer bersama jiran yang juga mengandung empat bulan
- Mereka berdua membuat keputusan untuk keluar ke tempat selamat kerana bimbang air naik lebih tinggi
- Biasmaiha hanya sempat bawa buku kesihatan untuk ibu mengandung dan kad pengenalan, ini pertama kali dia redah banjir
- Doktor memaklumkan proses kelahiran anak sulung Biasmaiha boleh berlaku dalam masa terdekat walaupun jadual bersalin pada Januari depan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
