[VIDEO] Hanya 18 peratus tangguh terima tawaran haji 2026

KUALA LUMPUR - Hanya 18 peratus bakal jemaah haji dalam giliran mengambil keputusan menangguhkan menerima tawaran Lembaga Tabung Haji (TH) bagi musim haji tahun 2026.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, bagaimanapun, kuota tahunan rasmi negara sebanyak 31,600 jemaah haji yang diberikan kerajaan Arab Saudi sentiasa dipenuhi 100 peratus setiap tahun.
“Setiap kekosongan akibat penangguhan penerimaan tawaran akan diganti serta-merta melalui senarai permohonan rayuan untuk menunaikan ibadah ini dalam aplikasi THiJARI sekali gus membantu TH memastikan kuota haji rasmi dimanfaatkan sepenuhnya setiap tahun.
“Tahun ini, TH menerima lebih 84,000 permohonan rayuan mengerjakan ibadat haji,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai jumlah pendeposit TH menolak tawaran menunaikan haji dan alasan penolakan tawaran berkenaan.
Zulkifli memaklumkan, penangguhan penerimaan tawaran menunaikan haji bukan atas faktor kewangan bakal jemaah semata-mata.
“Sebaliknya turut berpunca daripada faktor peribadi yang menyumbang kepada 31 peratus penolakan selain 20 peratus akibat soal kesihatan. Faktor kewangan hanya 23 peratus.
“Bagi mengurangkan risiko pembatalan saat akhir, TH mengeluarkan peringatan awal kepada bakal jemaah melalui sistem pesanan ringkas (SMS), e-mel, media dan THiJARI supaya persediaan kesihatan dibuat lebih awal, membuka permohonan rayuan lebih awal selain memastikan penilaian istito’ah (kemampuan) kekal ketat supaya hanya jemaah benar-benar bersedia ditawarkan,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Hanya 18 peratus bakal jemaah haji menangguhkan menerima tawaran Lembaga Tabung Haji bagi musim haji tahun 2026
- Kuota tahunan rasmi negara sebanyak 31,600 jemaah haji sentiasa dipenuhi 100 peratus setiap tahun
- Kekosongan akibat penangguhan penerimaan tawaran akan diganti melalui senarai permohonan rayuan dalam aplikasi THiJARI
- Tahun ini, TH menerima lebih 84,000 permohonan rayuan mengerjakan ibadah haji
- Penangguhan penerimaan tawaran menunaikan haji bukan hanya disebabkan faktor kewangan, tetapi juga faktor peribadi dan kesihatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

