Individu terlibat hubungan sejenis di Terengganu tidak terlepas hukuman – Exco

KUALA TERENGGANU - Individu terlibat dalam perlakuan hubungan sejenis di Terengganu tetap boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut peruntukan syariah sedia ada tanpa sebarang pengecualian.
Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kesalahan seperti itu boleh dibawa ke Mahkamah Syariah jika perlakuan melibatkan bidang kuasa Terengganu.
Menurutnya, peruntukan di bawah Seksyen 36A Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu (Pindaan) 2022 membolehkan pesalah yang melakukan persediaan melakukan liwat dikenakan hukuman denda sehingga RM5,000, penjara maksimum tiga tahun atau disebat tidak lebih enam sebatan.
"Dalam kes jenayah syariah, tidak semestinya perlu ada mangsa untuk membolehkan pendakwaan dibuat.
"Apabila perbuatan itu berlaku sahaja, kes boleh diteruskan mengikut peruntukan undang-undang," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Dr Muhammad Khalil berkata, usaha membanteras perlakuan songsang tidak semata-mata melibatkan penguatkuasaan tetapi turut menekankan aspek pendidikan dan pemerkasaan masyarakat.
Baru-baru ini, perkembangan melibatkan isu jenayah sosial mendapat liputan meluas selepas 171 lelaki tempatan ditahan dalam serbuan di sebuah pusat spa dan kesihatan di Chow Kit, Kuala Lumpur.
Kes itu turut menarik perhatian apabila kebanyakan mereka ditahan dibebaskan selepas permohonan reman terhadap mereka ditolak mahkamah.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, proses pengelasan tangkapan yang ramai menyebabkan kelewatan mengemukakan permohonan reman dan ditolak majistret.
Beliau berkata, daripada 202 individu yang ditahan dalam operasi berkenaan, 31 warga asing direman selama dua hari, manakala mereka yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri disiasat di bawah Akta Imigresen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
