Pengurus penyelenggaraan maut terpijak bumbung rapuh

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. - Foto hiasan
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. - Foto hiasan
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang pengurus penyelenggaraan maut selepas dipercayai terjatuh dari bumbung bangunan berketinggian 6.37 meter di sebuah kilang pembuatan di sini, pada Selasa.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang, Hairozie Asri berkata, kemalangan dilaporkan berlaku pada jam 8.30 pagi apabila mangsa berusia 49 tahun itu dikatakan terpijak bumbung lut sinar yang rapuh.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, keadaan bumbung lama yang mana bahagian bumbung zink dan bumbung lut sinar menjadi warna sama mungkin menyebabkan mangsa tidak menyedari bahaya struktur tersebut.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak ambulans yang tiba di lokasi kejadian.

"Sehubungan itu, JKKP Pulau Pinang telah mengeluarkan Notis Larangan (JKKP2) untuk menghentikan serta-merta semua kerja di tempat tinggi terutamanya di kawasan bumbung sehingga siasatan lengkap dijalankan," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Rabu.

Hairozie berkata, majikan terbabit juga telah diarahkan untuk melaksanakan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan mengemukakan langkah penambahbaikan kepada jabatan.

Katanya, JKKP Pulau Pinang juga akan menjalankan siasatan lanjut di lokasi kejadian.

"Tindakan akan diambil sekiranya berlaku perlanggaran undang-undang oleh pihak-pihak yang terlibat.

"JKKP memandang serius setiap kemalangan yang berlaku di tempat kerja dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan perundangan terhadap majikan yang gagal mematuhi peruntukan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, majikan bertanggungjawab memastikan kawalan risiko kerja di tempat tinggi dilaksanakan secara menyeluruh.

"Ia termasuk permit kerja, penyeliaan mencukupi, latihan dan penyelenggaraan struktur bumbung bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang," tegasnya.

Ringkasan AI

  • Seorang pengurus penyelenggaraan maut selepas terjatuh dari bumbung bangunan di kilang pembuatan di Butterworth
  • Kemalangan berlaku kerana mangsa terpijak bumbung lut sinar yang rapuh pada ketinggian 6.37 meter
  • Keadaan bumbung yang lama dan warna sama antara bumbung zink dan lut sinar menyebabkan mangsa tidak menyedari bahaya tersebut
  • JKKP Pulau Pinang mengeluarkan notis larangan kerja di tempat tinggi sehingga siasatan lengkap dijalankan
  • Majikan diarahkan untuk melaksanakan siasatan dalaman dan memastikan kawalan risiko kerja di tempat tinggi dilaksanakan secara menyeluruh

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!