23 pelancong Singapura dikurung dalam kedai kerana enggan beli barangan di China

Suasana orang ramai di pusat membeli-belah di Chengdu, wilayah Sichuan.-Agensi
Suasana orang ramai di pusat membeli-belah di Chengdu, wilayah Sichuan.-Agensi
A
A
A

CHENGDU – Seramai 23 pelancong dari Singapura mendakwa mereka dikurung di sebuah kedai di wilayah Chengdu, China, pada November lalu selepas enggan membeli barangan yang dipaksa oleh pemandu pelancong mereka.

Mereka dipaksa membeli jed, barangan perak, sikat dan ubat herba, malah tidak dibenarkan meninggalkan kedai sehingga kuota jualan pemandu pelancong itu dipenuhi, lapor 8Days.

Kumpulan pelancong itu berkata, mereka telah membelanjakan kira-kira 105,000 yuan (RM 61,300), namun pemandu pelancong berkenaan mendakwa jumlah itu masih tidak mencukupi.

Dia turut dilaporkan menghalang penumpang tidur dalam bas, memaksa mereka mendengar promosi produk dan mengugut untuk membatalkan lawatan jika mereka enggan membeli apa-apa.

Mengikut undang-undang tempatan, hentian membeli-belah yang tidak dinyatakan dalam kontrak adalah menyalahi undang-undang.

Kumpulan berkenaan menyerahkan rekod transaksi dan resit kepada polis sebagai bukti apa yang disifatkan sebagai 'scam pembelian paksa'.

Selepas campur tangan pihak berkuasa China, agensi pelancongan itu dilaporkan mengembalikan bayaran penuh kepada semua pelancong.

Insiden itu mencetuskan perdebatan hangat di media sosial, dengan ramai pengguna mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan pakej pelancongan murah dan pengendali tidak berlesen.

“Lebih baik melancong secara bebas atau tempah dengan agensi yang bereputasi,” kata seorang pengguna, manakala yang lain mengecam kelakuan pemandu pelancong berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Sesetengah pemandu pelancong memang macam pengemis tak bertempat,” tulis seorang netizen.

China kini memperketatkan penguatkuasaan terhadap amalan pembelian paksa, yang sering memikat pelanggan dengan pakej murah sebelum memaksa mereka berbelanja di kedai tertentu.-Agensi

Ringkasan AI

  • Seramai 23 pelancong dari Singapura mendakwa dikurung di sebuah kedai di Chengdu, China selepas enggan membeli barangan
  • Mereka dipaksa membeli jed, barangan perak, sikat, dan ubat herba serta tidak dibenarkan meninggalkan kedai
  • Kumpulan pelancong telah membelanjakan kira-kira 105,000 yuan namun pemandu pelancong masih menganggap tidak mencukupi
  • Undang-undang tempatan menyatakan hentian membeli-belah tidak dinyatakan dalam kontrak adalah menyalahi undang-undang
  • Agensi pelancongan mengembalikan bayaran penuh kepada pelancong selepas campur tangan pihak berkuasa China

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!