Hong Leong Islamic Bank perkukuh fokus pengurusan kekayaan

SEMPENA ulang tahun ke-20, Hong Leong Islamic Bank (HLISB) memperkenalkan halatuju baharu yang menekankan pengurusan kekayaan berasaskan nilai Syariah, selaras strategi memacu perbankan Islam yang mampan.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Lam berkata, usaha itu juga melambangkan langkah berani ke arah pendekatan yang lebih moden, mudah diakses dan berpandangan jauh sambil tetap berpegang teguh pada nilai-nilai Syariah.
“Ia menjadi asas kepada visi baharu HLISB iaitu ‘Timeless Principles Guiding Tomorrow's Wealth’ yang menegaskan komitmen Bank untuk terus berkembang seiring aspirasi rakyat Malaysia.
“Sejak awal lagi, matlamat kami bukan sekadar menubuhkan subsidiari malah membina institusi yang berteraskan integriti, komuniti serta kecemerlangan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sebagai sebahagian daripada hala tuju berfokuskan pengurusan kekayaan, HLISB melancarkan HLB@CAMPUS untuk memperkukuh pembangunan belia dan literasi kewangan dengan merapatkan jurang antara pendidikan serta keputusan kewangan di dunia sebenar.
Inisiatif tersebut menawarkan penyelesaian perbankan khusus pelajar, HLB Duitsmart sebagai bengkel literasi kewangan utama serta Program Duta Pelajar bagi mempersiapkan generasi muda ke arah penciptaan kekayaan yang bertanggungjawab.
HLISB setakat ini telah melaksanakan program tersebut di tiga universiti, iaitu Universiti College MAIWP International (UCMI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).
Seiring itu, HLISB turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan UCMI bagi memperluaskan inisiatif Waqaf dengan memberi tumpuan kepada keperluan kesihatan.
Kerjasama itu memudahkan sumbangan pelanggan bagi menyediakan peralatan perubatan dan sokongan penjagaan pesakit selain menukarkan kejayaan peribadi kepada impak sosial dengan mengiktiraf kesihatan komuniti sebagai sebahagian daripada kekayaan yang perlu dipelihara.
Kevin berkata, HLISB kini berfungsi sebagai enjin utama kejayaan dengan trajektori yang jelas apabila keputusan suku pertama tahun kewangan 2026 (Q1FY26) menunjukkan aset pembiayaan berkembang 7.8 peratus tahun ke tahun dan merangkumi 23.4 peratus daripada jumlah pembiayaan Hong Leong Bank.
“Selain itu, HLISB mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM197 juta, menyumbang 14.5 peratus kepada prestasi keseluruhan bank Kumpulan bagi tempoh sama.
“Fokus baharu kami menggabungkan kebijaksanaan hasil kematangan dengan kelincahan sebuah syarikat pemula bagi memacu kekayaan mampan untuk para pelanggan,” ujarnya.
Kevin berkata, HLISB menekankan setiap interaksi kewangan daripada pembukaan akaun simpanan asas, pembiayaan perniagaan hingga sokongan proses pensijilan halal dalam membangunkan kekayaan berasaskan nilai Syariah.
“Untuk merealisasikan visi ini, HLISB telah menyelaraskan penawarannya dengan lima tonggak Pengurusan Kekayaan Islam yang merangkumi keseluruhan kitaran kewangan. Perjalanan ini bermula dengan Penciptaan dan Pengumpulan Kekayaan melalui penjanaan pendapatan serta pelaburan dalam aset patuh Syariah.
“Asas tersebut diperkukuh oleh Pemeliharaan Kekayaan bagi melindungi pelanggan daripada ketidaktentuan dan disusuli Penyucian Kekayaan yang menekankan pengurusan beretika melalui amalan memberi. Akhir sekali, Pengagihan Kekayaan membantu pelanggan merancang legasi yang bukan sahaja mewariskan aset tetapi juga nilai,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif HLISB, Dafinah Ahmed Hilmi berkata, syarikat kini memberi tumpuan kepada pengurusan kekayaan dengan matlamat jelas untuk memastikan proses tersebut menjadi lebih mudah, lancar dan benar-benar memberi manfaat kepada pelanggan.
“Perbankan Islam menawarkan keindahan unik yang mana prinsipnya memberikan pandangan kekayaan holistik dan bermaruah, menghubungkan setiap aspek kehidupan dengan keseimbangan tanggungjawab,” katanya.
Menurut beliau, rangka kerja itu merangkumi keseluruhan perjalanan kewangan pelanggan, bermula daripada akaun simpanan pertama hingga kepada pelaburan, pertumbuhan perniagaan, perlindungan keluarga dan perancangan legasi.
“Pendekatan ini melampaui pengumpulan kekayaan secara konvensional kerana ia menekankan amanah pengurusan, impak ekonomi sebenar dan kesejahteraan merentas generasi.
“Kami komited untuk bersama pelanggan sepanjang kehidupan mereka bagi memastikan pengurusan kekayaan bukan sahaja menguntungkan tetapi juga bermakna serta menyokong kehidupan yang stabil, berbakti dan berwarisan,” katanya.
Tambahnya, bagi pelanggan runcit, HLISB terus memberi ganjaran atas tingkah laku kewangan yang berdisiplin melalui Akaun HLB Meezani-i iaitu Akaun Pelaburan Tidak Terhad (URIA) patuh Syariah.
“Direka untuk menyokong Pengumpulan Kekayaan, akaun ini memberikan ganjaran harian, mingguan, suku tahunan dan tahunan kepada lebih 23,000 pelanggan selain menawarkan akses dana yang fleksibel. Bagi meraikan era baharu, HLISB turut memperkenalkan Kempen Khas Ulang Tahun ke-20 berlangsung sehingga 31 Disember 2025.
“Antara tawaran termasuk RM20 bagi pelanggan baharu dengan penempatan awal RM200 dalam Akaun HLB Meezani-i; RM50 pulangan tunai untuk pembiayaan ASB-i yang diluluskan dan dibiayai serta RM100 pulangan tunai kepada pelanggan sedia ada yang menambah RM2,000 ke dalam Akaun HLB Meezani-i,” katanya.
Ringkasan AI
- Hong Leong Islamic Bank memperkenalkan halatuju baharu menekankan pengurusan kekayaan berasaskan nilai Syariah dalam sambutan ulang tahun ke-20
- Mengambil pendekatan moden, mudah diakses dan berpandangan jauh sambil berpegang teguh pada nilai Syariah
- Melancarkan HLB@CAMPUS untuk memperkukuh pembangunan belia dan literasi kewangan di kalangan pelajar
- Menandatangani Memorandum Persefahaman dengan UCMI untuk memperluaskan inisiatif Waqaf dengan fokus pada kesihatan
- Memperkenalkan Akaun HLB Meezani-i bagi menggalakkan pengumpulan kekayaan patuh Syariah dan menawarkan kempen khas ulang tahun ke-20
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

