Zaid kirim surat terbuka buat Ahmad Zahid

Mohd Zaid
Mohd Zaid
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak boleh meneruskan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan yang dipimpinnya.

Demikian antara isi kandungan yang terdapat dalam surat terbuka ditulis ahli UMNO Cawangan Bukit Damansara, Datuk Mohd Zaid Ibrahim kepada Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi setelah meneliti perkembangan politik sejak kebelakangan ini.

Mohd Zaid berkata, pandangan beliau bukan bersifat peribadi, sebaliknya berdasarkan Perlembagaan UMNO, penilaian rasional terhadap kepentingan negara dan masa depan parti itu sendiri.

Ahmad Zahid - Foto fail Sinar Harian
Ahmad Zahid - Foto fail Sinar Harian

Beliau mendakwa, alasan untuk mendesak UMNO mempertimbangkan langkah tersebut antara lain, kerajaan gagal mempertahankan kedaulatan negara dalam rundingan strategik antarabangsa.

Selain itu, kehilangan sokongan komuniti Cina dan negosiasi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang lemah hingga mengabaikan kepentingan Persekutuan.

Dakwanya lagi, UMNO-BN berisiko kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) jika terus bersama Kerajaan Perpaduan, lebih-lebih lagi pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor yang bakal menyusul.

"Selain itu, campur tangan institusi kehakiman dan salah guna kuasa. Anwar bukan sahaja gagal dalam agenda reformasi undang-undang, beliau turut didakwa menggunakan badan kehakiman dan agensi penguatkuasaan sebagai alat politik.

Artikel Berkaitan:

"Anwar juga gagal menjaga kepentingan bumiputera dalam rundingan perdagangan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di samping menggadai kepentingan geopolitik Malaysia akibat kecondongan berlebihan terhadap AS," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Tegasnya, dasar kerajaan Anwar bercanggah dengan Perlembagaan UMNO menurut Fasal 3.1: Mempertahankan Kemerdekaan dan Kedaulatan NegaraFasal 3.4: Memajukan Ekonomi Melayu dan Bumiputera.

Mohd Zaid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang) berpandangan, Anwar kini dilihat sebagai liabiliti politik kepada UMNO, BN dan negara.

Jelasnya, tindakan meletakkan masa depan UMNO kepada seorang Perdana Menteri yang sudah hilang sokongan rakyat amat merugikan parti.

"Lebih penting, dasar-dasar kerajaan yang dipimpin beliau bercanggah dengan Fasal Tiga Perlembagaan UMNO.

"Justeru, saya merayu agar UMNO dan BN menarik balik sokongan serta keluar daripada Kerajaan Perpaduan dalam kadar segera. Langkah ini penting untuk mengembalikan keyakinan pengundi Melayu menjelang PRU16," ujar beliau.

Ringkasan AI

  • UMNO dan BN tidak boleh terus menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan
  • Ahli UMNO, Datuk Mohd Zaid Ibrahim, mendesak parti mempertimbangkan penarikan sokongan berdasarkan Perlembagaan UMNO dan kepentingan negara
  • Mohd Zaid mendakwa kerajaan gagal mempertahankan kedaulatan negara dan mengabaikan kepentingan bumiputera
  • UMNO-BN berisiko kalah teruk dalam PRU16 jika terus bersama Kerajaan Perpaduan
  • Mohd Zaid merayu UMNO dan BN menarik balik sokongan dan keluar dari Kerajaan Perpaduan untuk mengembalikan keyakinan pengundi Melayu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!