MK Land anugerah kontrak EPCC RM142.3 juta kepada Solarvest bagi projek solar

MK Land Holdings Berhad (MK Land) melalui anak syarikatnya Citra Energies Sdn Bhd menganugerahkan kontrak Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) bernilai RM142.3 juta kepada Atlantic Blue Sdn Bhd bagi pembangunan loji solar berskala besar berkapasiti 29.99MW di Kulim, Kedah.
Ketua Pegawai Operasi MK Land dan Pengarah Citra Energies, Frankie Chai berkata, projek itu bertujuan melaksanakan pembangunan loji fotovoltaik solar di bawah Program Tenaga Hijau Korporat (Corporate Green Power Programme atau CGPP).
“Dengan menggabungkan komitmen jangka panjang MK Land terhadap pertumbuhan lestari serta kepakaran terbukti Solarvest dalam kejuruteraan solar, kerjasama ini memastikan perancangan, pembinaan dan ujian akhir loji dapat dilaksanakan dengan jayanya.
“Kolaborasi ini juga mencerminkan misi bersama kedua-dua syarikat untuk mempercepatkan peralihan Malaysia ke arah tenaga bersih dan boleh diperbaharui,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Solar Citra sebelum ini telah melantik Solarvest sebagai kontraktor EPCC untuk projek tenaga boleh diperbaharui sulungnya iaitu loji solar berkapasiti 10.95MW di bawah skim LSS4 di Kerian, Perak yang mencapai operasi komersial pada 2023.
Kerjasama berterusan ini menekankan keyakinan MK Land terhadap kepakaran teknikal dan kemampuan terbukti Solarvest dalam melaksanakan projek solar berskala besar.
Dengan memperluas portfolio tenaga boleh diperbaharui melalui kolaborasi strategik bersama peneraju industri global dan tempatan, M K Land terus menempatkan dirinya sebagai penyumbang aktif dalam landskap tenaga bersih serta memberikan nilai lestari kepada negara.
Tambah Frankie, loji berkenaan dijangka menghasilkan kira-kira 75,033 MWh tenaga bersih setiap tahun sekali gus mengurangkan sekitar 58,076 tan pelepasan karbon dioksida setelah mula beroperasi kelak.
“Kami amat berbesar hati untuk turut sama menyumbang kepada agenda tenaga lestari Malaysia melalui kolaborasi strategik ini. Projek itu bukan sahaja mengukuhkan lagi portfolio tenaga boleh diperbaharui M K Land malah mencerminkan nilai kerjasama erat dengan rakan strategik dipercayai seperti TotalEnergies dan Solarvest.
“Bersama-sama kami komited untuk membangunkan loji fotovoltaik solar berkualiti tinggi yang menyokong peralihan tenaga bersih negara sambil mewujudkan nilai lestari jangka panjang untuk pihak berkepentingan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest, Datuk Davis Chong Chun Shiong turut berasa bangga dengan kepercayaan yang diberikan oleh Citra Energies kepada mereka untuk melaksanakan projek ini sekali gus membuktikan keyakinan terhadap kemampuan Solarvest.
“Dengan rekod prestasi terbukti dalam pembangunan berskala utiliti, kami yakin dapat melaksanakan peranan sebagai Pengeluar Tenaga Solar dengan menyediakan penyelesaian tenaga lestari dan boleh dipercayai kepada pengguna korporat bagi menyokong matlamat pengurangan karbon mereka.
“Penganugerahan ini seterusnya mengukuhkan lagi kerjasama berterusan M K Land dengan Solarvest dalam memajukan aspirasi tenaga boleh diperbaharui syarikat,” tambah beliau.
Ringkasan AI
- MK Land Holdings Berhad melalui Citra Energies Sdn Bhd menganugerahkan kontrak RM142.3 juta kepada Atlantic Blue Sdn Bhd untuk pembangunan loji solar berskala besar di Kulim, Kedah
- Projek ini bertujuan melaksanakan pembangunan loji fotovoltaik solar di bawah Program Tenaga Hijau Korporat untuk mempercepatkan peralihan Malaysia ke arah tenaga bersih
- Solarvest dilantik sebagai kontraktor EPCC untuk projek ini, menekankan keyakinan MK Land terhadap kepakaran Solarvest dalam projek solar berskala besar
- Loji yang dibina dijangka menghasilkan kira-kira 75,033 MWh tenaga bersih setiap tahun, mengurangkan sekitar 58,076 tan pelepasan karbon dioksida
- Kerjasama ini mencerminkan nilai kerjasama erat MK Land dengan pihak seperti TotalEnergies dan Solarvest, serta komitmen mereka terhadap agenda tenaga lestari Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
