Pemandu, kelindan lori maut tersepit nahas 3 kenderaan berat

MUAR - Dua lelaki maut dalam nahas melibatkan dua treler dan sebuah lori di Kilometer (KM) 129.9 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan pada awal pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku pada jam 6 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila treler pertama yang dipandu seorang lelaki berusia 52 tahun sedang bergerak di lorong kiri menuju Johor Bahru telah dilanggar pada bahagian belakang oleh treler kedua di lorong yang sama.
“Pada masa yang sama, sebuah lori yang berada di laluan tersebut gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang treler kedua sehingga menyebabkan kenderaannya terbabas ke longkang di bahu kiri jalan.
“Akibatnya, pemandu lori berusia 23 tahun dan kelindannya yang berusia 24 tahun tersepit di dalam kenderaan tersebut dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Raiz Mukhliz berkata, kedua-dua mangsa kemudiannya berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.
Katanya, pemandu treler pertama tidak mengalami sebarang kecederaan manakala pemandu treler kedua mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di Klinik Kesihatan Yong Peng.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis turut meminta mana-mana saksi kejadian agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Muhamad Azim Aziz di talian 018-970 4143 atau hadir ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar bagi membantu siasatan,” katanya.
Ringkasan AI
- Dua lelaki maut dalam nahas melibatkan dua treler dan sebuah lori di Lebuhraya Utara-Selatan
- Kemalangan berlaku pada jam 6 pagi
- Kemalangan disebabkan oleh treler kedua yang melanggar bahagian belakang treler pertama
- Pemandu lori dan kelindannya meninggal dunia akibat tersepit dalam kenderaan
- Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, saksi diminta tampil membantu siasatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
