[VIDEO] Lelaki tikam isteri direman enam hari

TANAH MERAH - Lelaki tikam isteri sehingga maut dalam kejadian di Kampung Paku, Gual Ipoh di sini pada Isnin direman selama enam hari sehingga Ahad ini.
Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret Tun Faez Fikhrie Tun Asrul Saini pada Selasa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Warga emas berusia 63 tahun itu tiba di Mahkamah Majistret di sini pada jam 9.25 pagi memakai baju lokap berwarna ungu.
Suspek yang kelihatan tenang itu memakai cermin mata dan menaiki kenderaan polis.
Sebelum itu Sinar Harian melaporkan seorang isteri maut ditikam suaminya dipercayai menggunakan sebilah pisau di kediaman mereka di Kampung Paku, Gual Ipoh.
Dalam kejadian jam 10 pagi itu, mangsa, Mastura Abdullah, 40, yang bekerja sebagai tukang masak di Selayang, Selangor meninggal dunia di lokasi kejadian dipercayai akibat kecederaan parah di bahagian belakang badan.
Suspek dikatakan telah menyerah diri di Balai Polis Gual Ipoh di sini kira-kira jam 1 petang.
Pasangan tersebut sudah mendirikan rumah tangga selama 14 tahun dan mempunyai dua orang anak berusia 10 dan 12 tahun.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, HTM untuk bedah siasat dan selamat dikebumikan jam 7 pagi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paku pada Selasa.
Ringkasan AI
- Lelaki tikam isteri sehingga maut di Kampung Paku, Gual Ipoh
- Lelaki berusia 63 tahun direman enam hari untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan
- Suspek memakai baju lokap berwarna ungu ke Mahkamah Majistret
- Mangsa, Mastura Abdullah, meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian belakang badan
- Pasangan tersebut sudah berkahwin selama 14 tahun dan mempunyai dua orang anak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

