[VIDEO] Teluk Batik suram dek hakisan, peniaga akui terjejas

A
A
A

LUMUT - Setelah lebih seminggu kejadian hakisan pantai Teluk Batik akibat hentaman ombak kuat, peniaga dan penduduk di sekitar merasai kesuraman pantai peranginan itu.

Tinjauan Sinar Harian di kawasan tersebut mendapati kehadiran pelancong amat berkurangan selepas Majlis Perbandaran Manjung (MPM) menasihati orang ramai agar tidak mengunjungi pantai tersebut atas faktor keselamatan pada 25 November lalu.

Bagaimanapun aktiviti perniagaan di kawasan terbabit masih berjalan seperti biasa kecuali perkhidmatan berhampiran pantai seperti sewaan bot dan pelampung.

Seorang peniaga, Nurul Asyikin Jaafar Sidek, 41, mengakui bencana ombak besar yang menyebabkan hakisan pantai Teluk Batik itu merupakan antara terburuk pernah dialami.

Menurutnya, ketika kejadian memang hujan tidak berhenti sebelum ombak besar membadai pantai tersebut.

"Memang saya antara orang yang nampak keadaan itu. Hujan beserta ombak besar menghempas pantai.

"Mujur pengunjung yang ada ketika itu hati-hati. Mereka tak pergi berenang terlalu jauh sebab nampak cuaca hujan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Nurul Asyikin menjalankan perkhidmatan sewaan pelampung di pantai Teluk Batik.
Nurul Asyikin menjalankan perkhidmatan sewaan pelampung di pantai Teluk Batik.

Artikel Berkaitan:

Nurul Asyikin yang menjalankan perkhidmatan sewaan pelampung memaklumkan situasi dihadapi memberi kesan kepada pendapatan hariannya.

Katanya, purata sehari pendapatan sekitar RM250 kini hilang setelah seminggu tidak boleh berniaga.

Bagi adiknya, Nurul Hidayah Jaafar Sidek, 38, yang menjalankan perniagaan sewaan 'banana boat' di kawasan itu memaklumkan kejadian berkenaan hakisan itu sangat memberi kesan.

Dia yang merupakan ibu tunggal kepada tiga anak kini kehilangan pendapatan kerana perkhidmatan sukan rekreasi itu adalah sumber utamanya.

"Saya memang dah tak mampu sebab sudah seminggu tak meniaga.

"Makan minum terpaksa mengharapkan belas ihsan adik-beradik yang tinggal berhampiran," katanya.

Nurul Hidayah mengharapkan pembaikan dan pemulihan kawasan yang terjejas dapat disegerakan bagi membolehkan poketnya kembali berisi.

Penduduk dan peniaga menunjukkan keadaan hakisan pantai Teluk Batik yang berlaku.
Penduduk dan peniaga menunjukkan keadaan hakisan pantai Teluk Batik yang berlaku.

Seorang peniaga gerai makan, Zainal Talib, 76, berkata, biarpun sebahagian pantai ditutup kepada orang ramai untuk menjalankan aktiviti, operasi perniagaan di gerai berhampiran dibuka seperti biasa.

"Orang ramai atau sedikit, kami memang terpaksa buka kedai sebab ini sahaja mata pencarian yang ada.

"Kalau ada orang datang dapatlah rezeki, kalau tidak kuranglah rezekinya sebab hujung minggu biasanya memang ramai pengunjung," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Teluk Muroh, Maziah Rafie menyambut baik inisiatif pantas dilaksanakan pihak MPM untuk membaik pulih kawasan pantai tersebut.

Sambil mengakui musibah tersebut bukan sahaja menjejaskan peniaga tetapi penduduk setempat yang mengusahakan inap desa serta penginapan untuk pelancong.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada MPM atas tindakan segera menurunkan pasukan kerja bagi usaha baik pulih di pantai Teluk Batik selepas gelora kuat yang melanda baru-baru ini.

"Musibah ini memberi kesan besar kepada penduduk dan banyak harta benda terjejas, tapi kehadiran pasukan MPM benar-benar menguatkan semangat kami untuk bangkit semula," katanya.

Beberapa pokok di pantai Teluk Batik yang tumbang akibat hakisan serta ombak kuat.
Beberapa pokok di pantai Teluk Batik yang tumbang akibat hakisan serta ombak kuat.

Jelasnya, besar harapan penduduk dan peniaga agar kawasan peranginan itu kembali menarik pengunjung yang hadir.

Dalam pada itu, mereka boleh menarik nafas lega apabila MPM menerusi hantaran Facebook pada Ahad memaklumkan pantai Teluk Batik dan Teluk Senangin kini dibuka semula kepada orang awam.

Bagaimanapun orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berhati-hati berikutan keadaan cuaca tidak menentu serta berlakunya hakisan di beberapa kawasan.

Ringkasan AI

  • Hakisan pantai Teluk Batik menyebabkan penurunan jumlah pelancong
  • Aktiviti perniagaan terjejas terutamanya perkhidmatan sewaan bot dan pelampung
  • Peniaga mengalami kerugian pendapatan harian
  • Penduduk setempat dan peniaga mengharapkan pemulihan kawasan yang terjejas
  • MPM telah mengambil inisiatif untuk membaik pulih kawasan pantai dan membukanya semula kepada orang awam

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!