Rakyat mahu kerajaan stabil, inklusif dan berintegriti - Armizan

KOTA KINABALU - Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan walaupun tiada gabungan memperoleh majoriti mudah pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), mandat rakyat jelas mahukan sebuah kerajaan dibentuk bagi memastikan aspirasi mereka dilaksanakan melalui pentadbiran yang stabil, inklusif dan berintegriti.
Beliau berkata, pembentukan Kabinet Kerajaan Sabah pada Isnin adalah hasil komitmen semua wakil parti yang bersetuju untuk mewujudkan kerangka dan asas utama hala tuju negeri.
Menurutnya, struktur kerajaan baharu itu bukan sekadar gabungan politik, tetapi platform untuk memastikan agenda pembangunan dan hak rakyat Sabah dilaksanakan secara tersusun.
Katanya, kedudukan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas turut menjadi elemen penting dalam pembentukan kerajaan.
"Sungguhpun kesemua 5 ADUN Bebas pernah menjadi pimpinan GRS sebelum hari penamaan calon, namun suara mereka kini atas kapasiti ADUN Bebas amat penting.
"Agenda mendahulukan dan mengutamakan hak dan kepentingan Sabah akan menjadi teras utama sebagaimana yang termaktub dalam aku janji pilihan raya semua parti dan ADUN yang terlibat," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Armizan yang juga Ahli Parlimen GRS berkata, Kabinet negeri bertanggungjawab memaklumkan rakyat kerangka dan asas agenda utama negeri sebaik mesyuarat jemaah menteri yang pertama.
"Sungguhpun tidak ada satu gabungan parti yang mendapat majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan, namun mandat rakyat yang turun mengundi inginkan sebuah kerajaan didirikan untuk membawa perubahan yang lebih bernilai dan bermakna.
"Dari mana pun datangnya ADUN yang dipilih dan menjadi komponen kepada kerajaan negeri, pastikan aspirasi Sabahan dilaksanakan segera melalui sebuah kerajaan yang stabil, inklusif dan berintegriti manakala ADUN pembangkang pula memainkan peranan penting semak dan imbang," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap segala ikhtiar diberkati untuk merintis masa depan yang jauh lebih baik untuk Sabah dan Sabahan keseluruhannya.
Ringkasan AI
- Mandat rakyat Sabah mahukan kerajaan dibentuk untuk melaksanakan aspirasi mereka
- Kabinet Kerajaan Sabah terbentuk dari komitmen wakil parti untuk negeri
- Kerajaan baharu sebagai platform pembangunan dan hak rakyat Sabah
- Lima ADUN Bebas penting dalam pembentukan kerajaan Sabah
- Armizan tegaskan kepentingan mewujudkan kerajaan stabil, inklusif, dan berintegriti di Sabah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
