Bank Islam catat aset melepasi RM100 bilion, untung bersih RM382.2 juta

BANK Islam Malaysia Berhad merekodkan jumlah aset RM102.7 bilion pada akhir September 2025, melepasi sasaran strategik RM100 bilion menjelang Disember 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd Muazzam Mohamed berkata, pencapaian itu mencerminkan peningkatan 9.6 peratus tahun ke tahun dalam jumlah aset dipacu pertumbuhan pembiayaan serta pelaburan lebih tinggi dalam sekuriti.
“Ia sekali gus meletakkan aset bersih sesaham pada paras RM3.55. Jumlah pembiayaan kasar kumpulan turut meningkat 7.2 peratus tahun ke tahun kepada RM73.4 bilion setakat akhir September 2025.
“Momentum ini didorong oleh pertumbuhan sihat dalam segmen Perbankan Runcit dan Perbankan Institusi masing-masing pada 5.1 dan 15 peratus,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambahnya, kumpulan itu merekodkan keuntungan bersih RM382.2 juta pada sembilan bulan berakhir pada 2025 (9M2025), diterjemahkan kepada Pendapatan Sesaham (EPS) 16.86 sen dan Pulangan Ekuiti (ROE) bersih tahunan 6.7 peratus disebabkan kos overhed lebih tinggi dan peningkatan elaun rosot nilai pembiayaan.
“Lembaga Pengarah dengan sukacitanya juga mengisytiharkan dividen interim tunai satu peringkat sebanyak 10 sen sesaham biasa berjumlah RM226.6 juta bagi 9M2025.
“Bank Islam kekal komited memberikan pulangan kompetitif kepada pemegang saham sambil terus melabur dalam inisiatif yang menyokong pertumbuhan jangka panjang,” jelasnya.
Tambahnya, pertumbuhan itu juga disokong peningkatan 6.9 peratus tahun ke tahun dalam deposit pelanggan dan akaun pelaburan kepada RM83.8 bilion manakala CASATIA berjumlah RM30 bilion dengan komposisi sihat 35.8 peratus.
“Kumpulan turut merekodkan pendapatan bersih RM2 bilion, meningkat 9.2 peratus tahun ke tahun, disokong lonjakan 74.3 peratus dalam pendapatan bukan berasaskan dana kepada RM451.7 juta yang mewakili nisbah 11.9 peratus.
"Prestasi itu dipacu keuntungan lebih tinggi daripada penjualan sekuriti pelaburan, peningkatan pendapatan urus niaga pertukaran asing serta pendapatan fi dan komisen yang kukuh,” jelasnya.
Beliau berkata, pertumbuhan sederhana pendapatan berasaskan dana bersih kepada RM1.6 bilion mencerminkan kesan semakan kadar dasar semalaman.
“2025 bermula dengan penyederhanaan ekonomi global, ketegangan geopolitik dan keadaan kewangan ketat di pasaran utama selain persaingan sengit, perubahan jangkaan kawal selia serta permintaan pelanggan yang semakin meningkat dalam negara.
“Dalam persekitaran tersebut, Bank Islam tetap mempamerkan keteguhan operasi, disokong daya tahan kumpulan dan komitmen berterusan terhadap prinsip syariah,” katanya.
Mohd Muazzam berkata, Bank Islam komited mencipta nilai mampan untuk pelanggan dan pemegang saham dengan menerapkan prinsip kelestarian, tanggungjawab sosial dan tadbir urus korporat (ESG) dalam operasi serta memajukan kewangan sosial Islam sebagai pemangkin pertumbuhan inklusif.
“Kejayaan itu tidak dapat dicapai tanpa kepercayaan dan sokongan pelanggan, kakitangan dan pemegang taruh ketika Bank Islam terus mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi kewangan Islam unggul.
“Setakat 30 September 2025, nisbah pembiayaan terjejas kasar berada pada 1.04 peratus, lebih rendah daripada purata industri 1.41 peratus manakala Nisbah Jumlah Modal kekal kukuh pada 20.3 peratus,” ujarnya.
Selain itu, Mohd Muazzam berkongsi, Bank Islam melancarkan Premier Wealth Centre di Menara Bank Islam pada Ogos 2025 bagi pelanggan individu bernilai bersih tinggi.
“Pusat ini menyediakan khidmat nasihat peribadi, penyelesaian kewangan patuh syariah dan keistimewaan gaya hidup eksklusif dalam satu ruang khusus.
“Ia membolehkan kami memajukan pengurusan kekayaan dan memperkasakan pelanggan untuk memelihara dan mengembangkan aset mereka dengan yakin. Inisiatif ini sejajar dengan tumpuan Bank Islam terhadap pertumbuhan kekayaan pelanggan,” katanya.
Tambahnya, Bank Islam turut memperluaskan rangkaian pelaburan patuh syariah melalui kerjasama strategik dengan Opus Asset Management Sdn Bhd (OpusAM).
“OpusAM terkenal dengan komitmennya terhadap pelaburan bertanggungjawab dan mampan sebagai penandatangan Prinsip Pelaburan Bertanggungjawab Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN PRI).
“Melalui kerjasama ini, Bank Islam menawarkan pilihan pelaburan yang seimbang antara kestabilan, likuiditi dan pertumbuhan jangka panjang kepada pelanggan. Langkah ini membolehkan pelanggan membina kekayaan secara selamat,” ujarnya.
Tambah beliau, Bank Islam melengkapkan usaha pengukuhan kewangan dengan pengesahan penarafan institusi kewangan (FIR) pada AA3/Stabil/P1 oleh RAM Ratings termasuk penarafan program sukuknya.
“Pengesahan ini mencerminkan kekuatan kredit bank yang berdiri sendiri, disokong kualiti aset kukuh, permodalan sihat serta kedudukan pembiayaan dan kecairan yang memuaskan.
“Kami melabur strategik dalam bidang kritikal untuk mengukuhkan daya tahan dan kesediaan masa depan sambil menerapkan prinsip ESG dalam seluruh operasi selaras aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 dan Pelan Tindakan Sektor Kewangan Malaysia 2022–2026,” katanya.
Ringkasan AI
- Bank Islam Malaysia Berhad mencatat aset RM102.7 bilion pada akhir September 2025, melepasi sasaran RM100 bilion
- Pencapaian aset didorong oleh pertumbuhan pembiayaan dan pelaburan lebih tinggi dalam sekuriti
- Jumlah pembiayaan kasar meningkat 7.2 peratus tahun ke tahun kepada RM73.4 bilion hingga akhir September 2025
- Bank Islam merekodkan keuntungan bersih RM382.2 juta pada sembilan bulan berakhir 2025 dan mengisytiharkan dividen interim tunai satu peringkat sebanyak 10 sen sesaham
- Inisiatif seperti pelancaran Premier Wealth Centre dan kerjasama strategik dengan Opus Asset Management Sdn Bhd menyokong pertumbuhan dan penawaran pelaburan patuh syariah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
