Bank Islam meterai Perjanjian Terbitan Sukuk Sekatarakyat RM2 bilion

Sharifah Sarah (kiri) dan Mohamed Arsad hadir menyempurnakan Majlis Perjanjian Program Sukuk Wakalah pada Khamis.
Sharifah Sarah (kiri) dan Mohamed Arsad hadir menyempurnakan Majlis Perjanjian Program Sukuk Wakalah pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) memeterai Perjanjian Program Sukuk Wakalah bersama Koperasi Kakitangan Bank Rakyat Berhad (Sekatarakyat) menerusi Syarikat Bertujuan Khas, Sekata Capital Sdn Bhd.

Menerusi kenyataannya, Bank Islam memaklumkan langkah tersebut sekali gus membuka laluan kepada kemasukan sulung koperasi tersebut ke pasaran modal patuh syariah.

"Program sukuk bernilai sehingga RM2 bilion dengan tempoh sehingga 30 tahun itu menjadi langkah penting Sekatarakyat bagi merangsang pertumbuhan jangka panjang dan mengukuhkan kedudukan kewangan koperasi," katanya pada Khamis.

Jelas institusi kewangan itu, cadangan terbitan berkenaan turut bertujuan memaksimumkan pulangan kepada hampir 7,000 anggotanya.

"Dana yang bakal dijana daripada penerbitan sukuk itu akan digunakan untuk memperluas perniagaan patuh syariah koperasi, selain mengukuhkan modal kerja dan memenuhi keperluan korporat am.

"Langkah tersebut dijangka meningkatkan kapasiti operasi, memperluas rangkaian perkhidmatan dan menyokong pelaburan dalam inisiatif berimpak sosial yang selari dengan matlamat penubuhannya," kata Bank Islam.

Bank itu bertindak sebagai penasihat utama dan pengatur utama bagi cadangan penerbitan Program Sukuk Sekatarakyat.

Majlis pemeteraian itu disempurnakan Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Perbankan Institusi Bank Islam, Sharifah Sarah Syed Mohamed Tahir dan Pengerusi Sekatarakyat, Datuk Mohamed Arsad Sehan.

Kerjasama Bank Islam dan Sekatarakyat telah terjalin sejak tahun 2012 melalui penyediaan pembiayaan kepada anggota koperasi, selain pembiayaan modal kerja bagi operasi Ar-Rahnu serta pelbagai perniagaan lain.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Sharifah Sarah merakamkan penghargaan atas keyakinan Sekatarakyat terhadap Bank Islam untuk mengatur penerbitan sulung sukuk tersebut.

Beliau menegaskan, kerjasama itu mengukuhkan hubungan strategik kedua-dua pihak selain menonjolkan peranan Bank Islam sebagai pemangkin pembangunan pasaran modal Islam yang inklusif dan berimpak tinggi.

Menurutnya, Bank Islam komited menyediakan struktur kewangan patuh Syariah yang inovatif, memastikan akses kepada pelabur institusi dan menyokong aspirasi pertumbuhan serta kemampanan jangka panjang Sekatarakyat.

Sementara, Mohamed Arsad menyifatkan, penerbitan sukuk tersebut sebagai langkah strategik memperkukuh kedudukan Sekatarakyat sebagai koperasi progresif dan berdaya saing.

Katanya, langkah itu membuka peluang pembiayaan patuh syariah yang mampan dan mencerminkan komitmen koperasi untuk memberi manfaat maksimum kepada anggota serta masyarakat.

Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa inisiatif berkenaan akan meningkatkan kepercayaan pelabur terhadap model perniagaan koperasi yang telus, beretika dan inklusif.

Ringkasan AI

  • Bank Islam Malaysia Berhad memeterai Perjanjian Program Sukuk Wakalah dengan Koperasi Kakitangan Bank Rakyat
  • Langkah itu membolehkan koperasi masuk ke pasaran modal patuh syariah untuk pertama kalinya
  • Sukuk bernilai sehingga RM2 bilion dengan tempoh sehingga 30 tahun mengukuhkan kedudukan kewangan Sekatarakyat
  • Dana daripada sukuk akan digunakan untuk perluasan perniagaan, pengukuhan modal kerja dan keperluan korporat
  • Kerjasama tersebut menandakan hubungan yang berterusan antara Bank Islam dan Sekatarakyat sejak tahun 2012

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!