Proses undang-undang, harapan rakyat

BEKAS Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan ahli perniagaan, Albert Tei direman pada Sabtu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah.
Dalam kerangka undang-undang, reman merupakan satu keperluan prosedur bagi membolehkan siasatan dijalankan secara menyeluruh, termasuk mendapatkan keterangan, meneliti dokumen serta mengesan aliran kewangan yang berkaitan.
Namun, masyarakat perlu jelas bahawa reman bukanlah satu bentuk hukuman. Ia tidak membawa maksud bersalah, dan setiap individu berhak kepada prinsip keadilan iaitu dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.
Kes yang melibatkan dana serta wakil rakyat pula sentiasa mendapat perhatian kerana ia menyentuh soal amanah, tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat kepada pemegang kuasa.
Dalam konteks ini, tindakan pihak berkuasa menjalankan siasatan tanpa mengira kedudukan individu yang terlibat wajar dilihat sebagai usaha menegakkan prinsip kebertanggungjawaban.
Pada masa sama, masyarakat juga menaruh harapan agar setiap langkah siasatan dilakukan secara telus, profesional dan bebas daripada sebarang campur tangan.
Dalam era maklumat yang pantas tersebar, kejelasan dan ketelusan komunikasi menjadi amat penting bagi mengelakkan kekeliruan, salah faham dan spekulasi yang boleh mengeruhkan keadaan.
Media pula memikul amanah besar untuk melaporkan perkembangan kes secara berimbang, berfakta dan beretika agar tidak membentuk persepsi pramatang.
Dari sudut yang lebih luas, setiap kes yang disiasat berkaitan rasuah seharusnya menjadi peringatan bahawa kuasa dan kedudukan bukanlah lesen untuk menyimpang daripada nilai integriti.
Dalam pada itu, sistem keadilan perlu terus diperkukuh supaya setiap individu, tanpa mengira latar belakang, dilindungi oleh proses yang adil dan saksama.
Tumpuan masyarakat kini bukan sekadar kepada individu yang disiasat, tetapi juga kepada sejauh mana kebenaran dapat dibongkar dan keadilan ditegakkan berdasarkan bukti.
Apa jua keputusan akhirnya nanti, yang paling diharapkan ialah satu pengakhiran yang telus, diyakini dan adil, agar kepercayaan rakyat terhadap institusi negara terus terpelihara dan budaya integriti dapat diperkasakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
