Tiga empangan MADA catat peningkatan paras air
Limpahan air di Empangan Muda berlaku kira-kira jam 1 pagi selepas paras air melepasi aras limpah yang ditetapkan iaitu 100.540 meter.

ALOR SETAR – Tiga empangan utama di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mencatatkan peningkatan ketara paras air susulan hujan berterusan sejak 23 November lalu, dengan Empangan Muda dilaporkan mula melimpah awal pagi Sabtu.
Menurut kenyataan MADA, limpahan air di Empangan Muda berlaku kira-kira jam 1 pagi selepas paras air melepasi aras limpah yang ditetapkan, iaitu 100.540 meter.
Setakat jam 8 pagi, paras air direkodkan pada 100.6907 meter dengan kadar limpahan sebanyak 168.08 cusec.
“Limpahan ini masih berada dalam julat operasi normal empangan dan semua rekod teknikal telah disalurkan kepada agensi berkaitan untuk pemantauan lapangan secara segera,” kata kenyataan itu.
Sebelum kejadian limpahan berlaku, ketiga-tiga empangan di bawah pengurusan MADA menunjukkan peningkatan paras takungan air yang ketara.
Empangan Pedu mencatatkan paras 64.64 peratus, Empangan Muda 101.40 peratus, manakala Empangan Ahning pula pada 67.34 peratus.
Peningkatan ini selari dengan jumlah hujan yang tinggi direkodkan di kawasan tadahan dalam tempoh enam hari, iaitu sebanyak 117 milimeter (mm) di Empangan Pedu, 160 mm di Empangan Muda dan 251 mm di Empangan Ahning.
Sebagai langkah kawalan awal, MADA telah menutup pelepasan air dari empangan bermula 23 November lalu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Dalam masa sama, amaran cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bagi tempoh 27 hingga 29 November, termasuk ramalan ribut tropika, hujan berterusan dan angin kencang, mendorong MADA meningkatkan tahap kesiapsiagaan.
“Usaha pemantauan dan kawalan kini digiatkan bersama agensi berkaitan. Pemerhatian terhadap paras empangan, keadaan cuaca dan sistem saliran dilakukan secara serta-merta bagi memastikan setiap perkembangan dapat ditangani dengan cepat, tersusun dan mengikut prosedur,” jelas kenyataan itu lagi.
MADA turut menasihatkan orang ramai, khususnya penduduk di kawasan rendah dan berhampiran sungai, agar sentiasa peka terhadap sebarang perkembangan cuaca serta mematuhi arahan pihak berkuasa dari masa ke masa.
Ringkasan AI
- Empangan Muda mula melimpah awal pagi Sabtu susulan hujan berterusan sejak 23 November
- Limpahan air di Empangan Muda berlaku selepas paras air melepasi aras limpah yang ditetapkan
- Peningkatan paras takungan air dicatat di ketiga-tiga empangan bawah pengurusan MADA
- MADA meningkatkan tahap kesiapsiagaan susulan amaran cuaca dan ramalan ribut tropika oleh MET Malaysia
- Masyarakat diminta peka terhadap perkembangan cuaca serta mematuhi arahan pihak berkuasa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

