Remaja, kelindan lori ditahan ingkar PKP

No Image Caption
A
A
A

PORT DICKSON - Seorang kelindan lori dan seorang remaja berusia 16 tahun ditahan polis kerana ingkar arahan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dalam pemeriksaan yang dilakukan di Jalan Batu 3, Jalan Seremban-Port Dickson di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, kedua-dua lelaki berkenaan ditahan selepas enggan bekerjasama memberhentikan motosikal ditunggang dalam pemeriksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pada jam 9 malam semasa dua anggota polis sedang menjalankan tugas rondaan pemeriksaan PKP, suspek didapati menunggang motosikal dalam keadaan tidak memakai topi keledar.

“Polis cuba menahan suspek untuk pemeriksaan, namun mereka melarikan diri dan berjaya ditahan berdekatan Kuil India Dataran Segar menghala ke Port Dickson lebih kurang 50 meter daripada tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, ketika ditahan, suspek telah menghalang polis untuk membuat pemeriksaan lanjut dan turut bertindak kasar dengan mempertikaikan kuasa polis untuk menahan mereka.

Beliau berkata, kedua-dua suspek juga gagal mengemukakan kad pengenalan diri.

“Suspek telah dibawa ke Balai Polis Lukut untuk tindakan lanjut dan saman trafik turut dikeluarkan atas kesalahan tidak memakai topi keledar.

“Mereka kini ditahan reman sehingga Isnin depan untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan / Seksyen 270 Kanun Keseksaan/ Peraturan. 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 dan juga Peraturan. 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990,” katanya.