Jair Bolsonaro akhirnya ke tirai besi

Jair Bolsonaro
Jair Bolsonaro
A
A
A

BRASILIA – Taktik bekas Presiden Brazil, Jair Bolsonaro cuba memainkan sentimen simpati seperti yang dilakukannya sebelum ini nampaknya tidak berjaya apabila Mahkamah Agung pada minggu lalu menolak rayuannya dan mengarahkan beliau untuk menjalani hukuman penjara 27 tahun selepas disabit bersalah cuba melancarkan rampasan kuasa.

Pemimpin haluan kanan itu pernah mengukuhkan profil sebagai tokoh dihormati susulan insiden cedera ditikam ketika berkempen di bandar Juiz de Fora pada September 2018.

Imej Bolsonaro ketika itu yang memakai kemeja T kelab bola sepak kebangsaan sambil menahan kesakitan dikongsi jutaan kali malah menjadi tajuk utama rangkaian media utama.

Bekas kapten tentera itu terselamat dan kekecohan tersebut sedikit sebanyak telah menaikkan reputasinya, sekali gus meraih kemenangan pada Pilihan Raya Presiden pada masa tersebut dan mengemudi negara bermula Januari 2019 hingga Disember 2022.

Tujuh tahun kemudian, beliau kini meringkuk di balik tirai besi, namun Bolsanaro, 70, kekal sebagai salah seorang ahli politik paling berpengaruh dalam tempoh beberapa dekad selain meraih sokongan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang biasanya skeptikal dengan pemimpin negara Amerika Selatan.

Konspirasi jahat

Kehidupan politiknya mula menjadi porak-peranda setelah pemimpin itu tewas kepada pesaingnya daripada sayap kiri, Luiz Inácio Lula da Silva.

Bolsanaro tidak dapat menerima hakikat kekalahannya hingga terlibat konspirasi jahat yang merancang pembunuhan ke atas Lula da Silva.

Artikel Berkaitan:

Ribuan penyokong beliau melakukan rusuhan ke atas bangunan Kongres sebagai membantah keputusan Pilihan Raya Presiden pada 2022.
Ribuan penyokong beliau melakukan rusuhan ke atas bangunan Kongres sebagai membantah keputusan Pilihan Raya Presiden pada 2022.

Rancangannya mahu melancarkan kudeta bagaimanapun gagal mendapat sokongan pemimpin kanan tentera.

Kestabilan di Brasilia tergugat dek amukan kumpulan penyokongnya yang menyasarkan bangunan Kongres, Mahkamah Agung dan Istana Presiden kerana menolak kemenangan pemimpin veteran itu.

Kebanyakan pemerhati politik melihat Bolsonaro cuba meniru insiden rusuhan ganas seperti yang berlaku ke atas Capitol pada Januari 2021.

Setelah imejnya tercalar, Bolsonaro mula mencipta kontroversi termasuk meraih simpati ramai dengan masalah kesihatan yang dialaminya.

Kontroversi pemimpin itu semakin panas pada November 2024 selepas beliau dinamakan sebagai salah salah seorang daripada lebih 30 individu yang didakwa cuba membatalkan keputusan pilihan raya 2022 susulan pendedahan laporan setebal hampir 900 muka surat yang memperincikan konspirasi untuk menggulingkan kerajaan pimpinan penggantinya.

Perbicaraan Bolsonaro telah meningkatkan lagi ketegangan Brasilia dengan Washington.

Trump yang merupakan sekutu lama Bolsonaro juga mengecam pendakwaan tersebut dan menggelar ia sebagai ‘siasatan bermotif jahat’ dan bertindak mengumumkan pelaksanaan tarif sebanyak 50 peratus ke atas produk import negara berkenaan.

Pemimpin lantang

Jair Messias Bolsonaro dilahirkan pada 21 Mac 1955 di Glicerio, Brazil.

Beliau berkhidmat dalam Pasukan Tentera Brazil pada 1973 dan tamat latihan di Akademi Tentera Agulhas Negras, empat tahun kemudian.

Pada 1986, Bolsonaro meraih perhatian ramai setelah menulis artikel untuk majalah Veja yang mengkritik bayaran gaji rendah diterima anggota tentera hingga menyebabkannya ditahan selama 15 hari.

Kemenangan Lula da Silva (tengah) tidak dapat diterima Bolsonaro hingga beliau terlibat komplot jahat untuk membunuh pemimpin itu.
Kemenangan Lula da Silva (tengah) tidak dapat diterima Bolsonaro hingga beliau terlibat komplot jahat untuk membunuh pemimpin itu.

Beliau kemudiannya meninggalkan badan uniform tersebut dan dilantik menganggotai Dewan Perbandaran Rio de Janeiro.

Kerjaya politiknya terus berkembang sehingga dipilih memegang tampuk pemerintahan sebagai Presiden ke-38 Brazil pada Januari 2019.

Bolsonaro dikenali ramai kerana kelantangannya, namun pemimpin itu juga mempunyai nilai positif termasuk mengutamakan pembangunan pertanian ketika negara tersebut bergelut dengan krisis eknonomi dan skandal rasuah yang meluas.

Pemerhati politik percaya hukuman penjara bukanlah satu pengakhiran buat pemimpin tersebut meskipun dilarang bertanding untuk sebarang jawatan hingga 2060 kerana autoritinya yang masih kukuh mungkin membolehkan pembebasan lebih awal. - Agensi

Ringkasan AI

  • Mahkamah Agung Brazil menolak rayuan bekas Presiden Jair Bolsonaro dan mengarahkan beliau menjalani hukuman penjara 27 tahun atas cubaan rampasan kuasa Bolsonaro dikenal sebagai tokoh yang disegani setelah insiden ditikam semasa berkempen dan ini membantunya memenangi Pilihan Raya Presiden Kehidupan politiknya porak peranda setelah kalah kepada Luiz Inácio Lula da Silva dan terlibat dalam konspirasi untuk merancang pembunuhan ke atas Lula Bercadang melancarkan kudeta tetapi gagal karena tidak mendapat sokongan dari pemimpin kanan tentera dan menyebabkan amukan penyokong yang tidak menerima kekalahan tersebut Meskipun ditahan, Bolsonaro dianggap masih mempunyai pengaruh politik yang kuat dan mendapat sokongan dari bekas Presiden AS, Donald Trump

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!