162 rakyat Malaysia di Vietnam selamat pulang

KAMARUDIN
KAMARUDIN
A
A
A

PUTRAJAYA - Seramai 162 rakyat Malaysia yang terkandas di Vietnam selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi.

Pengerusi Pasukan Petugas Covid-19 Kementerian Luar, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, kesemua mereka dibawa pulang melalui penerbangan sewa khas syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS).

Menurutnya, proses penghantaran pulang rakyat Malaysia dari negara itu berjalan lancar dengan bantuan Kedutaan Besar Malaysia di Hanoi dan Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Ho Chi Minh City.

"Sejumlah 162 orang rakyat Malaysia selamat pulang ke rumah malam tadi. Tahniah kepada pasukan Taskforce Covid-19 di Hanoi dan Ho Chi Minh untuk kejayaan misi tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Kamarudin yang juga Timbalan Menteri Luar itu berkata, rakyat Malaysia yang berada di Kaherah, Mesir pula akan dibawa pulang ke tanah air dengan bantuan kerajaan Brunei.

Menurutnya, kerajaan Brunei bersetuju membenarkan sebahagian rakyat Malaysia yang terkandas di Kaherah, Mesir untuk menaiki pesawat kerajaan Brunei dari Mesir ke Brunei dijadualkan berlepas esok.

"Seramai 86 rakyat Malaysia dilaporkan masih terkandas di Kaherah, Mesir.

"Namun demikian disebabkan kapasiti penerbangan kerajaan Brunei yang terhad, seramai 51 rakyat Malaysia sahaja boleh menaiki penerbangan tersebut dengan mengutamakan warga emas dan pelancong rakyat Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Penerbangan tersebut dijangka tiba di Bandar Seri Bangsawan pada hari Ahad pada jam 8.40 pagi," katanya lagi.

Mengulas lanjut beliau berkata, dalam situasi mencabar ini, Wisma Putra mengalu-alukan kerjasama daripada mana-mana pihak yang ingin menghulurkan bantuan dalam usaha kerajaan membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara.

"Yang penting, saya ingin mengulangi seruan kepada rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara supaya bertenang dan mematuhi arahan dikeluarkan kerajaan di negara itu.

"Pastikan anda berdaftar dengan perwakilan kita di sana bagi memudahkan urusan pihak perwakilan dalam mengkoordinasi langkah-langkah seterusnya," katanya.