Ilmuwan, pendakwah diingatkan santuni masyarakat secara berhemah

PERMATANG PAUH - Pendakwah dan para ilmuwan diingatkan agar menyampaikan ilmu dengan pendekatan berhikmah bagi mengelakkan perbalahan serta mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, penyampaian ilmu yang berhikmah, beradab dan bersopan merupakan asas penting bagi memastikan masyarakat menerima bimbingan agama yang sahih tanpa menimbulkan kekeliruan atau jurang sesama umat.
"Ulama dan asatizah perlu menjadi suara yang menenangkan, bukan yang mengelirukan.
"Mereka harus menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat, bukan yang menjarakkan," katanya ketika berucap pada Program Jelajah Ulama’-Umara’ Peringkat Kebangsaan sempena Karnival Al-Falah Madani di Masjid Mengkuang Titi di sini pada Sabtu.
Mohd Na’im berkata, para ilmuwan bukan sekadar menyampaikan hukum, tetapi bertanggungjawab membawa teladan kebaikan dan menjadi penyuluh kepada masyarakat dalam situasi penuh cabaran hari ini.
Tambah beliau, dunia bergerak pantas dengan ledakan teknologi dan umat Islam tidak boleh berpeluk tubuh, sebaliknya perlu meningkatkan penguasaan ilmu serta nilai berasaskan al-Quran dan sunah untuk mendepani pelbagai cabaran semasa seperti kekeliruan maklumat agama, isu moral dan perpecahan sosial.
Beliau menegaskan bahawa kerjasama berterusan antara ulama dan umara amat penting supaya respons institusi agama sentiasa selari tuntutan syarak serta realiti semasa.
"Kerjasama ini penting ketika masyarakat berdepan pelbagai cabaran, termasuk perpecahan dalaman, kekeliruan terhadap panduan agama serta penyalahgunaan media sosial.
"Mereka perlu menjadi jambatan penyatu, bukan menimbulkan perpecahan, sambil menegakkan nilai moral, adab dan rasa hormat," tambahnya.
Beliau berkata, sudah tiba masanya masyarakat menghentikan pertelingkahan, menyemai kebencian atas nama agama, berperang di media sosial serta menyebarkan maklumat palsu yang merosakkan hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan.
"Tindakan seperti itu tidak membawa manfaat kepada agama, negara atau umat," katanya lagi.
Ringkasan AI
- Pendakwah dan ilmuwan disarankan menyampaikan ilmu dengan pendekatan berhikmah
- Penting memastikan masyarakat menerima bimbingan agama yang sahih tanpa kekeliruan
- Ulama dan asatizah harus menjadi penyambung dan penyuluh masyarakat
- Perlu peningkatan ilmu dan nilai berasaskan al-Quran dan sunah untuk menghadapi cabaran semasa
- Kerjasama antara ulama dan umara penting untuk respons institusi agama yang selari dengan tuntutan syarak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

