Hampir 2 juta rakyat Israel berdepan krisis kesihatan mental selepas 2 tahun perang Gaza

Berlaku peningkatan mendadak kes trauma, ketagihan dadah serta kadar bunuh diri, selain keruntuhan institusi keluarga dan komuniti di seluruh negara

Ramai rakyat Israel alami tekanan perasaan dengan sebahagian besar melibatkan anggota tentera. - Gambar hiasan - Agensi
Ramai rakyat Israel alami tekanan perasaan dengan sebahagian besar melibatkan anggota tentera. - Gambar hiasan - Agensi
A
A
A

JERUSALEM – Rakyat Israel kini berdepan krisis kesihatan mental yang semakin meruncing, dengan hampir dua juta penduduknya termasuk sebahagian besar anggota tentera dilaporkan memerlukan bantuan psikologi susulan perang dua tahun di Gaza, lapor media tempatan.

Akhbar harian Yedioth Ahronoth mendedahkan peningkatan mendadak kes trauma, ketagihan dadah serta kadar bunuh diri, selain keruntuhan institusi keluarga dan komuniti di seluruh negara.

“Dua juta rakyat Israel, termasuk ramai anggota tentera, kini memerlukan sokongan psikologi daripada kerajaan,” lapor akhbar itu sambil memberi amaran bahawa krisis lebih besar akan berlaku dan 'masih belum memuncak'.

Pakar dan mangsa trauma yang ditemu ramah menjelaskan bahawa sistem kesihatan mental Israel sedang tenat, dengan kekurangan teruk pakar terapi, masa menunggu rawatan yang panjang dan infrastruktur yang tidak mampu menampung permintaan yang meningkat sejak perang bermula.

Pakar psikologi klinikal, Profesor Merav Roth berkata, ramai rakyat yang sebelum ini menunjukkan ketahanan mental kini mengalami tekanan melampau.

“Selepas dua tahun perang, kita melihat semakin ramai yang berasa tertekan, cemas dan murung. Keadaannya amat ketara sejak beberapa bulan kebelakangan ini,” katanya.

Beliau turut mendedahkan kadar ketagihan dadah meningkat secara dramatik.

“Pada 2018, seorang daripada 10 rakyat Israel berada pada tahap ketagihan. Hari ini nisbah itu meningkat kepada satu daripada empat. Kenaikan ini sangat membimbangkan,” kata Roth.

Dalam masa sama, penyiar awam Israel, KAN melaporkan 279 cubaan bunuh diri dalam kalangan anggota tentera, selain 36 kes bunuh diri yang disahkan sejak perang di Gaza bermula pada Oktober 2023.

Artikel Berkaitan:

Perang yang berlarutan dua tahun itu menyaksikan tentera Israel membunuh hampir 70,000 penduduk Gaza kebanyakannya wanita dan kanak-kanak serta mencederakan lebih 170,000 orang, sekali gus memusnahkan sebahagian besar wilayah berkenaan. -Agensi

Ringkasan AI

  • Rakyat Israel berdepan dengan krisis kesihatan mental yang semakin meruncing, hampir dua juta orang termasuk anggota tentera memerlukan bantuan psikologi
  • Peningkatan mendadak kes trauma, ketagihan dadah dan kadar bunuh diri, serta keruntuhan institusi keluarga dan komuniti
  • Kekurangan teruk pakar terapi, masa menunggu rawatan yang lama dan infrastruktur yang tidak mencukupi menyebabkan sistem kesihatan mental sedang tenat
  • Kadar ketagihan dadah meningkat daripada satu dalam sepuluh pada tahun 2018 kepada satu dalam empat, menurut Profesor Merav Roth
  • Terdapat 279 cubaan bunuh diri dalam kalangan anggota tentera dan 36 kes bunuh diri yang disahkan sejak perang di Gaza bermula pada Oktober 2023

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!