UPSI pertahan kejuaraan Perak Football Varsity Challenge


PENYANDANG juara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengukuhkan dominasi bola sepak varsiti apabila mempertahankan kejuaraan Perak Football Varsity Challenge 2025 merebut Piala Datuk Khairudin Abu Hanipah, selepas menewaskan Sekolah Sukan Negeri (SSN) Perak 4-2 menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua terikat 2–2 dalam perlawanan akhir di Stadium Seri Iskandar, Parit.
Final yang sarat debaran itu memperlihatkan kedua-dua pasukan saling mengatur serangan sejak sepak mula dengan UPSI terlebih dahulu berada di depan apabila Muhammad Nazrul Afiz menanduk masuk bola hantaran sepakan sudut pada minit ke-45.
Babak kedua dalam keadaan hujan lebat, SSN Perak menunjukkan kebangkitan ketara apabila Amir Hakimy menyamakan kedudukan pada minit ke-59 menerusi rembatan deras dari dalam kotak penalti.
Gol itu ternyata menyemarakan semangat pemian SSN Perak apabila Muhammad Amarul Aiman kemudian meletakkan pasukannya di depan pada minit ke-77, hasil tekanan berterusan ke atas benteng UPSI.
Namun ketika UPSI kelihatan hampir tewas, Muhammad Syahmi muncul wira apabila menyambar bola lintang dalam situasi kelam-kabut hasil sepakan sudut lewat permainan untuk mengikat kedudukan 2–2 bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Selepas 120 minit tanpa tambahan jaringan, juara terpaksa ditentukan melalui sepakan penalti yang menyaksikan UPSI sekali lagi kekal tenang untuk keluar juara dengan kemenangan 4–2.
Final edisi 2024, UPSI menewaskan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) juga menerusi penentuan sepakan penalti 7-6 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1.
Sementara itu, pengendali UPSI, Mohd Azmin Abu Hassan, melahirkan rasa syukur dan memuji disiplin serta komitmen tinggi pemain sepanjang kejohanan.
Katanya, kejayaan mempertahankan kejuaraan hadir melalui kerja keras dan sokongan semua pihak termasuk penyokong serta penganjur.
Sementara itu, tuan rumah UiTM Cawangan Perak menundukkan Universiti Sultan Azlan Shah 2–0 menerusi jaringan Muhammad Jamsyir dan Shaiful Alshaf untuk muncul pasukan ketiga terbaik kejohanan kali ini.
Kemenangan itu membolehkan UPSI membawa pulang piala pusingan dan hadiah RM4,000 manakala SSN Perak meraih RM2,000 diikuti UiTM Perak menerima RM1,500.
Penyerang UniKL-RCMP, Ariq Thaqif Roszman pula dinobatkan penjaring terbanyak dengan empat gol, manakala pemain SSN Perak, M Puuveenthiran dipilih sebagai Pemain Paling Bernilai.
Sementara itu, Rektor UiTM Cawangan Perak, Prof Madya Dr Nur Hisham Ibrahim, merakam penghargaan kepada Kerajaan Perak atas sokongan dan tajaan melalui Datuk Khairudin Abu Hanipah yang memastikan penganjuran kejohanan berlangsung cemerlang.
Sebagai rekod, lapan pasukan mengambil bahagian dalam edisi kali ini merangkumi UPSI, UiTM Cawangan Perak, Universiti Sultan Azlan Shah, Universiti Teknologi Petronas, IPG Kampus Ipoh, UniKL-RCMP, Kolej Poly-Tech MARA Ipoh dan pasukan jemputan, SMK Gunung Rapat selaku Sekolah Sukan Negeri Perak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
