Calon muda BN tawar transformasi Sekong

Mohd Zharif dekat di hati pengundi Sekong.
Mohd Zharif dekat di hati pengundi Sekong.
A
A
A

SANDAKAN - Sekong kini bukan lagi sekadar mahu diceritakan sebagai kawasan pinggiran, sebaliknya ia sedang pesat berkembang dengan potensi besar melibatkan ekonomi, infrastruktur dan peluang sosial.

Peningkatan pembangunan perumahan, kemudahan asas dan peluang perniagaan baharu menjadikan Sekong semakin menarik sebagai pusat pertumbuhan bagi penduduk tempatan serta pelabur.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini, calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN), Mohd Zharif Aizat Samsudin, 30, berhasrat membawa hala tuju pembangunan yang menumpukan kepada kesejahteraan rakyat di kawasan tersebut.

Giat mempromosikan dirinya untuk meneruskan legasi arwah bapanya di DUN Sekong.
Giat mempromosikan dirinya untuk meneruskan legasi arwah bapanya di DUN Sekong.

Bukan sahaja ingin meneruskan legasi arwah bapanya yang juga bekas ADUN Sekong, Datuk Samsuddin Yahya, beliau juga komited untuk mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan keluarga, membuka perniagaan kecil serta menyelesaikan masalah asas yang telah lama tertangguh untuk rakyat di kawasan tersebut.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi itu menekankan isu infrastruktur asas di kawasan luar bandar, terutama di kawasan kampung atas air dan pulau-pulau, tidak boleh terus dibiarkan tanpa tindakan segera.

Gerak kerja ziarah rumah ke rumah jadi elemen penting dalam kempen untuk mengenal pasti masalah dihadapi penduduk di Sekong.
Gerak kerja ziarah rumah ke rumah jadi elemen penting dalam kempen untuk mengenal pasti masalah dihadapi penduduk di Sekong.

Artikel Berkaitan:

Bercerita mengenai pengalamannya meninjau sendiri keadaan jambatan kampung yang uzur dan rapuh di kawasan Sekong, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap situasi yang dihadapi sebahagian besar penduduk di perkampungan tersebut.

"Saya sendiri berjalan di jambatan yang keadaannya sangat membimbangkan. Jika tidak diberi perhatian segera boleh mengundang tragedi, kita tidak mahu hanya bertindak selepas ada yang menjadi mangsa. Itu yang perlu kita elakkan.

"Jika anak-anak ke sekolah atau nelayan yang turun ke laut perlu melalui jambatan rapuh, ia bukan hanya menyusahkan tetapi membahayakan keselamatan mereka. Ini tidak boleh dibiarkan berlarutan," katanya.

Mohd Zharif berkata, keperluan pembaharuan dan penyelenggaraan infrastruktur seperti jambatan, laluan air, saliran dan kemudahan asas lain mesti menjadi agenda utama, khususnya di kawasan pedalaman yang sering terpinggir.

Dalam pada itu, beliau komited untuk membawa semua isu yang dikenal pasti terus ke perhatian pihak berwajib agar tindakan susulan dapat dilakukan dengan segera.

Beliau juga menekankan pendekatan kempen rumah ke rumah yang dilaksanakannya sejak awal lagi kerana yakin cara itu masih berkesan untuk mendengar denyut nadi rakyat.

Mohd Zharif mendekati pengundi dengan menziarahi dari rumah ke rumah pengundi di beberapa kawasan di Sekong.
Mohd Zharif mendekati pengundi dengan menziarahi dari rumah ke rumah pengundi di beberapa kawasan di Sekong.

Pendekatan itu diteruskan dengan hampir 70 peratus kampung di sekitar DUN Sekong berjaya dikunjungi sejak kempen bermula.

Antaranya termasuk rancangan membekalkan air bersih ke kawasan kampung pesisir pantai seperti Kampung Bambangan yang masih belum terlaksana selepas kekalahan arwah bapanya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Beliau berkata, Sekong adalah kawasan perindustrian yang sangat berpotensi.

“Jika saya diberi peluang, kita mahu menarik lebih ramai pelabur, syarikat besar untuk datang ke Sekong dan buka kilang, tetapi salah satu cabaran di sini adalah masalah asas.

"Kemudahan infrastruktur itu harus diperbaiki, jika kilang ingin dibuka di Sekong, perlu ada air dan elektrik," ujarnya.

Orang muda pemacu perubahan

Sebagai calon muda BN yang bersaing dengan lima calon lain, Mohd Zharif yang juga pemegang ijazah sarjana dari Universiti Northumbria, England melihat tawaran manifesto parti sebagai antara elemen penting bagi memastikan generasi baharu di Sekong tidak terus tercicir daripada arus pembangunan.

Beliau berkata, manifesto Rancangan Pembangunan Sabah Satu (RPS1) yang menggariskan enam tonggak utama turut meletakkan orang muda sebagai pemacu perubahan, sejajar dengan kehendak semasa golongan itu yang mahukan peluang lebih luas dalam ekonomi, pendidikan serta kehidupan masa depan.

Antara inisiatif khusus belia dalam manifesto tersebut termasuk Program Peneroka Muda (Pemuda) yang menyediakan tanah berstatus sementara (TOL) secara berkumpulan untuk diusahakan melalui pertanian, penternakan dan akuakultur, selain disertakan dana dan bimbingan agensi berkaitan.

BN turut menawarkan penubuhan Koperasi Usahawan Anak Muda di setiap daerah, dana khas pembangunan sukan termasuk e-sukan, pembinaan litar permotoran moden serta penubuhan 10 Port Aspirasi sebagai pusat aktiviti, latihan digital dan ekonomi kreatif belia.

Manifesto itu juga memperkenalkan program pemberian lesen lori Good Driving Licence (GDL) percuma kepada golongan muda B40 sebagai usaha membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

Mohd Zharif disenangi rakyat Sekong.
Mohd Zharif disenangi rakyat Sekong.

Dalam aspek pembangunan kapasiti dan masa depan belia, RPS1 turut menggariskan penubuhan Pusat Program Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bertaraf antarabangsa melalui Skim Skill TVET Sabah (SKIVETS), selain penyediaan skim perumahan belia seperti Rumah Mampu Milik Sifar Deposit (Casa Belia) serta 500 unit Rumah Transit Belia (RTB) bagi membantu anak muda yang baru memulakan kerjaya.

Usaha memperkukuh keusahawanan turut diberi ruang melalui Dana Belia Niaga (DanaBN) dengan pembiayaan sehingga RM5,000 bagi memulakan perniagaan berasaskan perkhidmatan, digital dan ekonomi gig.

"Tawaran manifesto BN kepada golongan belia adalah satu komitmen jelas parti dalam memperkasakan anak muda sebagai pemangkin perubahan di Sabah,” katanya.

Menurut Mohd Zharif, anak muda perlu diyakinkan bahawa masa depan mereka tidak hanya terbatas pada peluang pekerjaan semata-mata, tetapi memerlukan sokongan ekosistem pembangunan yang kukuh.

Dengan gabungan pengalaman turun padang, agenda belia yang jelas serta fokus terhadap pembangunan asas di Sekong, beliau yakin kawasan itu mampu melonjak sebagai hab pertumbuhan baharu jika diberi mandat pada PRN kali ini.

 

 

MAKLUMAT CALON

MOHD ZHARIF
MOHD ZHARIF

Nama: Mohd Zharif Aizat bin Datuk SamsudinKawasan: N53 – SekongParti: Barisan Nasional (BN) / UMNOSlogan: Radu Tatap Radu – Radu Sampai Menang!Hashtag: #DemiRakyat #DemiSabah

 

 

PENDIDIKAN

Menengah

· Sekolah Menengah Kebangsaan Sung Siew2012 – 2013

Universiti / Kolej

· University of Northumbria, EnglandBachelor of Arts with Second Class Honours in Business Management (2013–2016)

· City College Plymouth, EnglandInternational Foundation Course (Intensive) – Business (Pass with Distinction), 2012–2013

 

 

PENGALAMAN POLITIK

· Penyelaras Barisan Nasional N53 Sekong (2024 – kini)

· Timbalan Ketua Bahagian UMNO Batu Sapi (2023 – kini)

· Ketua Cawangan Kampung Sundang Laut 2 (2023 – kini)

· Ketua Pemuda Cawangan Kampung Sudang Laut 2 (2017 – 2023)

 

 

KERJAYA dan PENGLIBATAN

· Ahli Lembaga Pengarah MUIS Travel & Tours Sdn. Bhd. (2024 – kini)

· Timbalan Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Psikiatri, Hospital Duchess of Kent, Sandakan, Sabah (2023 – kini)

· Pengerusi Masjid Wasatiyyah Batu Sapi, Sandakan, Sabah (2023 – kini)

· Ahli Majlis Perbandaran Sandakan (2023 – 2025)

· Gemilang Pemilik MZA Gemilang (2018 – kini)

ADVERTORIAL

 

 

Ringkasan AI

  • Sekong berkembang pesat dengan potensi besar dalam ekonomi, infrastruktur, dan peluang sosial
  • Mohd Zharif Aizat Samsudin, calon Barisan Nasional, berhasrat membawa pembangunan untuk kesejahteraan rakyat
  • Memfokus kepada pembaharuan infrastruktur seperti jambatan, laluan air, dan kemudahan asas
  • Melaksanakan pendekatan kempen rumah ke rumah untuk mendekati dan mendengar masalah rakyat
  • Memperjuangkan ekosistem pembangunan yang kukuh untuk memastikan anak muda tidak tercicir dari pembangunan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!