PRN Melaka: MCA tambah kerusi, bertanding tiga kawasan

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] MCA mengesahkan pertambahan satu kerusi menjadikan parti itu bertanding di tiga kawasan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pertambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu diputuskan selepas perbincangan akhir antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Menurutnya, kerusi tersebut merupakan kuota PN iaitu di kawasan Bandar Hilir, Melaka.
"Setelah memuktamadkan jumlah kerusi, akhirnya MCA diberi satu lagi kerusi untuk bertanding di satu kawasan yang majoriti Cina iaitu DUN Bandar Hilir.
"Jadi bermaksud PN hanya bertanding enam kerusi. Persetujuan ini diberikan oleh kedua-dua parti dan keputusan ini dibuat pada hari ini juga, kita telah memuktamadkan semuanya.
"Kerusi ini memang kita tanding dari dulu, jadi saya rasa tidak menjadi isu kerana kita sudah biasa dalam kawasan ini," katanya pada sidang media di Parlimen, Khamis.
Ka Siong berkata, calon yang dipilih telah bersiap sedia dan dijangka berdepan dengan calon Pakatan Harapan.
"Kita akan menggembleng tenaga dan buat yang terbaik. Segala gerak kerja adalah untuk mendapatkan sokongan dan mandat daripada rakyat Melaka.
"Dalam konteks ini, kita sama-sama bertungkus lumus dan melakukan yang terbaik di kawasan yang dipertandingkan," ujarnya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan BN dan PN kerana memberi kepercayaan kepada MCA.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

