Nekad pulang mengundi walaupun kekurangan wang

KOTA KINABALU – Seorang wanita nekad pulang ke kampung meskipun berdepan dengan masalah kekurangan wang semata-mata mahu mengundi.
Chan Su Ching, 34, berkata, wang yang ada dibelanjakan untuk membeli tiket bas bagi membolehkannya pulang ke Tawau.
Menurutnya, keputusan tersebut dibuat bagi memilih calon yang mampu membawa perubahan positif di tempatnya itu.
Malah katanya, diharapkan ada calon yang mampu menambah peluang pekerjaan di Tawau.
"Bayangkan selama ini di Tawau jika bekerja sebagai pelayan kedai makan, gaji sangat rendah dan tiada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
"Disebabkan itu saya terpaksa datang ke Kota Kinabalu untuk bekerja di kedai kopi kerana bayaran yang setimpal," katanya kepada Sinar Harian di Terminal Bas Bandaraya di sini pada Jumaat.
Justeru Su Ching berkata, kerajaan dipilih nanti diharapkan dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan pembangunan bagi membantu masyarakat yang susah.

Sementara itu, pelajar universiti swasta di sini iaitu Nur Fitri Nafeesa Nazarudin, 20, juga tidak ketinggalan pulang ke kampung suapaya dapar membuang undi buat pertama kalinya pada Sabtu ini.
"Saya pulang dengan membeli tiket sendiri untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gum-Gum walaupun terpaksa menaiki bas kira-kira enam jam.
"Ini pertama kali saya akan mengundi dan berharap agar kerajaan terbentuk nanti dapat mengubah masa depan Sabah ke arah lebih baik," katanya
Sementara itu, Nur Afy Dialisia Mahalan, 20, berkata, keputusan pulang ke kampung dibuat kerana dirinya mahu merasai sendiri pengalaman membuang undi.
"Mengundi ini kewajipan rakyat dan ini pertama kali saya mahu rasa perasaan mengundi.
"Saya harap pengundi muda yang lain turut pulang dan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi," katanya.
Hari pengundian Pilihan Raya Negeri ke-17 Sabah ditetapkan bermula jam 7.30 pagi hingga 5 petang pada Sabtu.
Ringkasan AI
- Wanita nekad pulang ke kampung untuk mengundi walaupun berdepan masalah kekurangan wang
- Chan Su Ching membelanjakan wang untuk tiket bas pulang ke Tawau demi memilih calon yang boleh bawa perubahan positif
- Harapan untuk peningkatan peluang pekerjaan di Tawau disuarakan
- Nur Fitri Nafeesa pulang ke kampung untuk mengundi buat pertama kali dengan harapan pembangunan masa depan Sabah
- Nur Afy Dialisia mahu merasai pengalaman mengundi dan menggesa pengundi muda lain menunaikan tanggungjawab
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
